Orkim beli kapal baharu Rich Sunda bernilai RM97 juta daripada syarikat Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim beli kapal baharu Rich Sunda bernilai RM97 juta daripada syarikat Singapura

Antara kapal milik Orkim ketika ini
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac – Orkim Wisdom Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Orkim Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Wealth Sail Shipping Pte. Ltd. bagi cadangan pengambilalihan sebuah kapal tangki IMO Type II bernama Rich Sunda.

 

Harga pembelian kapal tersebut adalah AS$24.2 juta atau bersamaan kira-kira RM97 juta, berdasarkan kadar pertukaran AS$1:RM4.0090 pada 27 Mac 2026. 

 

Orkim berkata pembayaran akan dilakukan sepenuhnya secara tunai melalui dua peringkat, termasuk deposit awal sebanyak AS$2.4 juta.

 

Kapal Rich Sunda dibina pada tahun 2026, mempunyai panjang 138.73 meter, lebar 20 meter dan kedalaman 11.4 meter. Kapal ini mampu membawa produk petroleum bersih dan bahan kimia, menjadikannya fleksibel untuk pelbagai jenis kargo.

 

“Penyerahan kapal dijadualkan antara 31 Mac hingga 15 Mei 2026 di Zhejiang Donghong Shipyard, China. Kapal akan diserahkan dalam keadaan sedia pakai, bebas daripada hutang atau liabiliti serta dengan sijil kelas dan perdagangan yang sah.

 

“Cadangan pengambilalihan ini selaras dengan strategi Orkim untuk memperluas armada kapal dan melaksanakan program penyegaran armada, seterusnya meningkatkan keupayaan operasi syarikat dalam sektor pengangkutan laut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Setakat ini, Orkim memiliki 18 kapal yang terdiri daripada 16 tangki CPP dan 2 tangki LPG dengan kapasiti keseluruhan 239,186 DWT. Penambahan kapal Rich Sunda dijangka meningkatkan kapasiti pengangkutan dan kebolehpercayaan perkhidmatan syarikat.

 

Harga pembelian dan kos permulaan dianggarkan RM4 juta akan dibiayai sebahagian besar daripada hasil IPO Orkim pada 9 Disember 2025, dengan baki menggunakan dana dalaman syarikat.

 

Tiada liabiliti tambahan atau jaminan lain yang akan ditanggung oleh Orkim atau anak syarikat berkaitan pengambilalihan ini selain daripada obligasi MOA.

 

Pengambilalihan kapal ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan per saham (EPS) Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 apabila kapal mula beroperasi.

 

Selain itu, aset bersih dan aset bersih per saham dijangka meningkat, manakala nisbah hutang syarikat tidak terjejas kerana pembayaran dilakukan melalui dana tunai.

 

Orkim juga menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi ini.

 

Pengambilalihan dijangka diselesaikan pada suku kedua 2026, tertakluk kepada syarat-syarat dalam MOA dan sebarang keadaan tidak dijangka sebelum penyerahan kapal.

 

Lembaga Pengarah Orkim berpendapat pengambilalihan ini adalah kepentingan terbaik bagi syarikat, meningkatkan fleksibiliti operasi, kemampuan pengangkutan dan nilai pemegang saham pada masa depan - DagangNews.com