KUALA LUMPUR 10 Julai - Kadar pengangguran di seluruh negara diyakini berada paras 3% pada tahun ini berbanding 3.1% seperti yang diunjurkan sebelum ini, kata MIDF Research.
Katanya, keadaan itu disokong peningkatan peluang pekerjaan dan peluang kerjaya yang berterusan terutamanya dalam sektor perkhidmatan.
Firma penyelidikan itu berkata, penciptaan peluang pekerjaan dan permintaan buruh yang kukuh dijangka didorong penggunaan domestik yang mampan serta aktiviti pelaburan yang berterusan.
"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dengan gangguan berkaitan tarif yang boleh menjejaskan permintaan global dan memberi tekanan terhadap pengambilan pekerja dalam sektor berorientasikan eksport dan komoditi.
"Sebaliknya, peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan gaji yang stabil berkemungkinan tertumpu kepada sektor berorientasikan domestik yang relatif terlindung daripada kesan tarif AS yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Bilangan penganggur terus menurun 0.7% kepada 522,400 orang pada Mei 2025 - DOSM
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara menunjukkan daya tahan dan penyesuaian yang baik terhadap perubahan ekonomi global dan teknologi.
Katanya, kadar penurunan pengangguran yang berterusan, diiringi pertambahan dalam guna tenaga, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan.
Bilangan tenaga buruh terus berada dalam trend menaik pada Mei 2025, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2%, mencatatkan 17.38 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada April 2025.
Kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.8%, sama seperti bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei 2025, naik sebanyak 0.3% kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta orang yang direkodkan pada April 2025.- DagangNews.com








