Bilangan penganggur terus menurun 0.7% kepada 522,400 orang pada Mei 2025 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan penganggur terus menurun 0.7% kepada 522,400 orang pada Mei 2025 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Bilangan penganggur di negara ini terus menurun sebanyak 0.7% pada Mei 2025 kepada 522,400 orang berbanding 525,900 orang pada bulan sebelumnya, dengan kadar pengangguran 3.0 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara menunjukkan daya tahan dan penyesuaian yang baik terhadap perubahan ekonomi global dan teknologi.

 

Beliau berkata, penurunan pengangguran yang berterusan, diiringi pertambahan dalam guna tenaga, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan.

 

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus berada dalam trend menaik pada Mei 2025, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2%, mencatatkan 17.38 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada April 2025.

 

"Kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.8%, sama seperti bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei 2025, naik sebanyak 0.3% kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta orang yang direkodkan pada April 2025.

 

dosm

 

"Bilangan penduduk bekerja sendiri mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5% kepada 3.18 juta orang berbanding 3.16 juta orang pada April 2025," katanya.

 

Melihat kepada prestasi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan yang konsisten, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan aktiviti pengangkutan & penyimpanan.

 

Pada masa yang sama, katanya sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan perlombongan & pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan.

 

Beliau menambah, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif, merangkumi 79.7% daripada jumlah penganggur.

 

"Pada bulan berkenaan, bilangan penganggur aktif menurun sebanyak 0.5% kepada 416,400 orang. 

 

"Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 64.4% meliputi mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.1% merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

 

"Penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turut menurun sebanyak 1.2 peratus, merekodkan 106,000 orang berbanding bulan sebelumnya," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.2% pada Mei 2025, dengan 297,700 penganggur.

 

Beliau berkata, bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran kekal pada 6.2%, mencatatkan seramai 399,000 penganggur belia.

 

Katanya, bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1% kepada 7.18 juta orang pada Mei 2025 berbanding 7.17 juta orang pada April 2025.

 

"Peratus sumbangan tertinggi penduduk di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu sebanyak 43.7%, diikuti oleh mereka yang terlibat dalam bersekolah atau latihan dengan 41%," katanya.- DagangNews.com