KUALA LUMPUR 12 Mac — Kerajaan telah meluluskan pembangunan terminal ketiga di Pelabuhan Klang yang akan dibangunkan di Pulau Carey, Selangor, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pada Rabu telah meluluskan memorandum yang dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi melaksanakan projek tersebut, yang akan diterajui oleh kerajaan negeri Selangor.
“Projek ini telah diumumkan sebelum ini, namun keputusan Kabinet hari ini memperincikan model pelaksanaannya di mana kita akan meluluskan permohonan kerajaan negeri Selangor untuk menerajui pembangunan tersebut.
“MOT akan terus bertindak sebagai badan pengawal selia bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan baik dan teratur,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan MOT 2026 serta Program Paduan Kasih Madani dan Ihya Ramadan di Putrajaya pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri Selangor akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bersama syarikat swasta bagi mendapatkan pelaburan swasta untuk membina dan mengendalikan terminal ketiga di Pelabuhan Klang.
“Ini merupakan projek jangka panjang yang penting kepada negara melibatkan pembangunan infrastruktur utama yang strategik.
“Ia juga memberi isyarat bahawa walaupun berdepan cabaran geopolitik global ketika ini, pembangunan negara tidak akan terjejas.
“Kita akan terus bergerak ke hadapan bagi memastikan projek infrastruktur penting seperti ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempercepatkan usaha merealisasikan pembangunan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.
Beliau menegaskan projek tersebut perlu dijadikan model baharu pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti.
Terminal ketiga di Pelabuhan Klang itu merupakan projek strategik yang bertujuan memperkukuh kapasiti ekonomi negara serta mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik serantau. - BERNAMA








