KAB Energy, PKNPk bangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti 1,800MW di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAB Energy, PKNPk bangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti 1,800MW di Perak

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Feb - Anak syarikat milik sepenuhnya Kinergy Advancement Bhd (KAB), KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH), bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) untuk membangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Perak dengan kapasiti keseluruhan melebihi 1,800 megawatt (MW). 

 

Penyedia rumusan tenaga dan agensi negeri Perak itu berkata, kedua-dua pihak akan mengenal pasti, menilai dan membangunkan projek RE di Perak dengan memanfaatkan kepakaran teknikal KAB bagi memacu pembangunan tenaga yang berdaya saing. 

 

"Sejajar dengan Perak Sejahtera 2030 Flagship 12: Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuhkan daya tahan tenaga Perak, tetapi juga menyumbang kepada matlamat negara untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang mampan. 

 

"Inisiatif-inisiatif di bawah kerjasama ini secara langsung menyokong objektif untuk meningkatkan kecekapan sumber air dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, yang menandakan langkah penting ke arah mencapai sasaran kelestarian jangka panjang Malaysia," kata kedua-dua pihak itu dalam satu kenyataan bersama.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif KAB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lai Keng Onn berkata, kerjasama itu membolehkan kumpulannya menawarkan kepakaran untuk memacu pembangunan mampan dan bersama-sama meneroka potensi tenaga Perak, dengan projek-projek kapasiti penjanaan kuasa sebanyak 50 MW kini dalam perancangan.

 

"Kerjasama dengan PKNPk membolehkan kami mempercepatkan pembangunan kemudahan tenaga mampan, seterusnya mengukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga bersih di Malaysia," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, dengan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih, terdapat keperluan mendesak untuk rumusan tenaga yang teguh, fleksibel dan boleh diperbaharui serta penyimpanan untuk mengimbangi bekalan dan permintaan dengan berkesan. 

 

"Dengan kepakaran KABEH dalam RE dan peranan strategik PKNPk dalam memacu pembangunan negeri, terutamanya dalam kemudahan tenaga dan dasar, kami yakin kerjasama ini akan membuka potensi besar hidroelektrik dan tenaga solar di Perak," jelasnya. - DagangNews.com