Juruterbang, kru TUDM akan ke Korea Selatan jalani latihan pesawat FA-50M | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruterbang, kru TUDM akan ke Korea Selatan jalani latihan pesawat FA-50M

Pesawat FLIT-LCA FA-50 KAI jenis sama yang bakal diterima TUDM pada 2026.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Feb - Enam juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadualkan menjalani latihan intensif pesawat latihan/tempur ringan (FLIT-LCA) FA-50M di Korea Selatan pada Oktober depan.

 

Ia bagi membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat baharu ini serta sebagai persediaan TUDM mengendalikan FLIT-LCA berkenaan.

 

Selain itu, seramai 51 anggota kejuruteraan TUDM pula akan menyertai kursus senggaraan pesawat bermula Januari 2026.

 

Ini sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat apabila memasuki perkhidmatan TUDM kelak.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Perkembangan terbaharu ini dimaklumkan TUDM dalam satu kenyataan susulan lawatan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ke Korea Aerospace Industries (KAI) pada 17 hingga 18 Februari lalu.

 

Menurut kenyataan itu, lawatan juga untuk meninjau perkembangan pembangunan pesawat yang dijangka diterima TUDM secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2026.

 

Mengiringi PTU ialah Pengarah Projek Udara, MTU-P&P, Kolonel Razali Ahmad Jumali dan Ketua Tim Projek FLIT-LCA, Kolonel Fazrul Azwan Mustafa.

 

Pada lawatan ini Mohd Ashgar diberi kesempatan menerbangkan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji. 

 

Pesawat

 

Pesawat

 

“Pengalaman secara langsung ini membolehkan PTU menguji keupayaan pesawat dalam aspek daya terbang, sistem avionik serta kesesuaian pesawat memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM. 

 

“Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” ujar kenyataan itu.

 

Selain KAI, delegasi TUDM turut mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services.

 

Kedua-dua syarikat ini memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M.

 

Pesawat

 

“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan aset baharu TUDM, tetapi juga menandakan era baharu dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa. 

 

“Dengan perkembangan positif ini, TUDM berada pada landasan tepat untuk terus menjadi kuasa udara yang disegani di rantau ini.

 

“Secara keseluruhannya, PTU berpuas hati dengan kemajuan pembangunan pesawat FA-50M,” ujar kenyataan itu lagi.

 

Semasa lawatan ke Korea Selatan pada November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta menyegerakan proses penghantaran pesawat FA-50M 

 

Pesawat
Pengoperasian pesawat FA-50M nanti dapat mengisi jurang pesawat sedia ada dalam TUDM.

 

Pesawat

 

Sebelum ini, proses penghantaran pesawat ditetapkan pada 2026

 

Pembelian 18 buah pesawat FLIT-LCA LCA itu adalah antara perancangan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

 

Jika mengikut rancangan TUDM memerlukan 36 buah pesawat jenis ini untuk operasi dan latihan bagi menggantikan pesawat Hawk dan MB-339C. - DagangNews.com