KUALA LUMPUR 11 Mac – TA Research mengulangi saranan "Terima Tawaran" ke atas tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) oleh Sunway Bhd terhadap IJM Corporation Bhd ekoran jurang perbezaan harga yang semakin melebar.
Firma penyelidikan itu berkata, jurang perbezaan harga atau arbitraj itu kini melebihi 33%, jauh lebih tinggi berbanding sekitar 9.5% ketika transaksi diumumkan.
"Selain “Terima Tawaran” kami juga menasihatkan pelabur mengumpul saham IJM serta menyerahkannya dalam tawaran pengambilalihan oleh Sunway bagi merealisasikan nilai yang ditawarkan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Research turut mengekalkan harga sasaran bagi saham IJM pada RM3.15 selaras dengan harga tawaran pengambilalihan tersebut.
Untuk rekod, Sunway pada 12 Januari 2026 mengemukakan tawaran bagi memperoleh semua 3.51 bilion saham biasa IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham, tertakluk kepada syarat penerimaan minimum sebanyak 50% ditambah satu saham.
Urus niaga itu membabitkan nilai keseluruhan sehingga kira-kira RM11 bilion dan akan diselesaikan melalui gabungan 90% pertukaran saham serta 10% pembayaran tunai.
Komponen pertukaran saham itu berdasarkan harga terbitan RM5.65 sesaham Sunway.
Jurang Arbitraj Melebar
Menurut TA Research, nilai sebenar yang akan diterima oleh pemegang saham IJM sangat bergantung kepada harga saham Sunway memandangkan 90% daripada nilai tawaran dibayar dalam bentuk saham.
Oleh itu, nilai efektif yang diterima pemegang saham IJM akan berubah selari dengan pergerakan harga saham Sunway sehingga transaksi dimuktamadkan.
Sebagai contoh, berdasarkan harga rujukan RM5.65 sesaham Sunway, perubahan 5% pada harga saham Sunway boleh mengubah nilai tawaran IJM sekitar RM0.16 sesaham atau kira-kira 5.1%.
Menurut anggaran TA Research, nilai teori pelarasan bagi tawaran tersebut kini sekitar RM3.07 sesaham, sedikit lebih rendah daripada harga tawaran RM3.15 selepas mengambil kira pengagihan dividen dalam bentuk saham Sunway Healthcare Group Bhd yang tidak layak diterima oleh pemegang saham IJM di bawah struktur transaksi itu.
Namun, harga saham IJM telah merosot kepada RM2.31 setakat 10 Mac 2026, sekali gus mewujudkan jurang arbitraj yang besar berbanding nilai tawaran teori tersebut.
Jurang itu kini melebihi 33%, jauh lebih tinggi berbanding sekitar 9.5% ketika transaksi diumumkan.
TA Research berkata, jurang tersebut mencerminkan diskaun yang diberikan pelabur terhadap saham IJM berikutan ketidakpastian mengenai nilai sebenar yang akan direalisasikan daripada komponen pertukaran saham.
Keadaan itu diperkuatkan lagi dengan penurunan kira-kira 11% harga saham Sunway secara bulanan, sekali gus meningkatkan kebimbangan pelabur mengenai nilai akhir yang akan diterima.
Potensi pulangan melebihi 25%
Walaupun begitu, TA Research juga berpandangan jurang arbitraj semasa dilihat tidak sepadan dengan risiko transaksi sebenar.
Walaupun mengambil kira diskaun sekitar 5.1% bagi mengambil kira turun naik harga saham, jurang arbitraj masih dianggarkan sekitar 26%.
Dari sudut risiko dan pulangan, pelabur yang memasuki saham IJM pada harga semasa berpotensi menikmati kenaikan lebih 25% sekiranya transaksi tersebut dimuktamadkan seperti yang dirancang.
Sebaliknya, sekiranya urus niaga itu tidak menjadi kenyataan, risiko penurunan harga dilihat agak terhad.
Ini kerana saham IJM sebelum pengumuman tawaran didagangkan dalam julat RM2.30 hingga RM2.75, justeru penurunan ke paras RM2.30 hanya membayangkan risiko penurunan kurang daripada 1% daripada harga semasa.
Selain itu, asas perniagaan IJM yang kukuh turut dijangka menyokong harga saham syarikat.
Antara faktor tersebut termasuk buku pesanan pembinaan tertunggak bernilai RM15.3 bilion, jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM1.6 bilion serta pendapatan berulang yang stabil daripada aset konsesi.
Syarikat itu juga dilihat berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur baharu di Malaysia.- DagangNews.com








