Jumlah tender TechStore naik dua kali ganda kepada RM1.67 bilion disokong projek rel, teknologi baharu - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah tender TechStore naik dua kali ganda kepada RM1.67 bilion disokong projek rel, teknologi baharu - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - TechStore Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor integrasi sistem apabila jumlah tender syarikat melonjak kepada RM1.67 bilion pada 30 Jun 2025, naik dua kali ganda berbanding RM772 juta pada 30 April.

 

RHB Research berkata, lonjakan itu mencerminkan daya tarikan kukuh dalam projek rel serta teknologi baharu, sejajar dengan pertumbuhan pesat pembangunan infrastruktur negara.

 

"Kira-kira separuh daripada jumlah tender tersebut melibatkan projek mega rel, termasuk kerja-kerja di bawah Prasarana Malaysia Bhd di Lembah Klang — di mana sebahagiannya berpotensi melebihi nilai projek terbesar TechStore setakat ini, iaitu kontrak Sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC) LRT3 bernilai RM77 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Katanya, kumpulan itu turut memperluas skop perkhidmatannya dalam projek nasional sedia ada seperti LRT3 dan Rapid Transit System (RTS), di samping menantikan pemangkin baharu daripada projek MRT3 yang diluluskan pada Julai 2025 serta peluang besar yang bakal muncul di Johor dan Pulau Pinang.

 

Dari segi kewangan, buku tempahan syarikat turut meningkat kepada RM119 juta setakat 30 Jun 2025, berbanding RM109.1 juta pada 31 Mac, disokong tempahan baharu bernilai kira-kira RM60 juta sejak penyenaraian. 

 

Daripada jumlah itu, RM55 juta dijangka disumbangkan dalam separuh kedua 2025, memberikan jaminan pendapatan berbilang tahun kepada syarikat.

 

Dalam tempoh yang sama, margin keuntungan TechStore menunjukkan pemulihan kukuh, menandakan peningkatan kepuasan pelanggan serta permintaan terhadap kepakaran khusus syarikat itu.

 

Syarikat itu juga mempertingkatkan aliran pendapatan berulang sebagai strategi jangka panjang untuk menstabilkan keuntungan. 

 

"Setakat 30 Jun 2025, hasil pajakan belum dibil berjumlah sekitar RM30 juta, memastikan aliran pendapatan yang stabil untuk beberapa tahun akan datang," katanya.

 

Firma penyelidikan bagaimanapun tidak memberikan sebarang penarafan dengan harga wajar (FV) antara 40 sen hingga 52 sen sesaham," katanya.

 

RHB Research turut memberi amaran, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kegagalan penambahan tempahan baharu, kelewatan projek atau berlaku sebarang kelembapan dalam aliran projek. - DagangNews.com