KUALA LUMPUR 17 Mac – Sektor pelancongan domestik Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada suku keempat 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta aktiviti perjalanan bermusim.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pelawat domestik pada suku keempat 2025 mencecah 74 juta orang, meningkat 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perbandingan suku ke suku menunjukkan peningkatan sebanyak 2.0 peratus berbanding suku ketiga 2025.
“Perbelanjaan pelancongan domestik pula direkodkan sebanyak RM32.6 bilion, meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun. Jika dibandingkan dengan suku sebelumnya, perbelanjaan ini mencatat pertumbuhan 9.1 peratus,” katanya dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Prestasi ini dipacu oleh aktiviti perjalanan rakyat Malaysia, khususnya semasa tempoh cuti sekolah dan musim perayaan hujung tahun.
Beliau berkata pertumbuhan perbelanjaan turut berlaku merentas beberapa sektor berkaitan pelancongan, termasuk penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit.
“Industri berkaitan pelancongan menunjukkan prestasi selari dengan trend ini. Ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat 17.9 peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif mencatat pertumbuhan 7.1 peratus, menunjukkan tahap mobiliti yang lebih tinggi.
“Subsektor penginapan turut merekodkan hasil yang kukuh, meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun. Kadar penghunian hotel pula meningkat merentasi semua kategori, mencerminkan permintaan penginapan yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi prestasi tahunan 2025, jumlah keseluruhan pelawat domestik mencapai 290.1 juta orang, naik 11.5 peratus berbanding 260.1 juta pada 2024.
Perbelanjaan tahunan sektor ini pula berjumlah RM121 bilion, meningkat 13.3 peratus.
Pertumbuhan berterusan sektor pelancongan domestik dilihat sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Malaysia, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara. - DagangNews.com








