Jumlah aset pengurusan Manulife naik 18%, cecah RM17.2 bilion pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah aset pengurusan Manulife naik 18%, cecah RM17.2 bilion pada 2024

Gambar/FB Manulife Malaysia
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Jun - Manulife Holdings Bhd (MHB) mencatat peningkatan sebanyak 18% dalam jumlah aset di bawah pengurusannya (AUM) kepada RM17.2 bilion bagi tahun kewangan 2024, melebihi purata industri bagi dana ekuiti dan pendapatan tetap.

 

Menurut syarikat, pencapaian itu disumbang oleh asas perniagaan yang kukuh serta prestasi baik dalam segmen insurans dan pelaburan.

 

Anak syarikatnya, Manulife Insurance Bhd (MIB), turut mencatat pertumbuhan 48% dalam  jualan premium insurans tahunan (APE) hasil kerjasama dengan bank-bank rakan niaga, didorong oleh permintaan yang semakin tinggi dan rangkaian edaran yang semakin luas.

 

Untuk segmen pelanggan bernilai tinggi, Manulife Insurance Labuan Limited mencatat peningkatan 50% dalam APE, hasil pelancaran produk USD Indexed Universal Life yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Vibha Coburn berkata, pencapaian sepanjang 2024 membantu pengembangan operasi syarikat, menambah baik produk dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

"Saya sangat bangga dengan komitmen pasukan kami. Mereka banyak menyumbang kepada kejayaan ini. 

 

"Pada tahun ini, kami akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang mampan dan keuntungan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Vibha turut memaklumkan, MHB terus mengukuhkan usaha kelestarian melalui pelbagai inisiatif seperti projek biodiversiti di Perlis, program pembersihan bandar, Larian Terry Fox dan aktiviti kitar semula.

 

Beliau berkata, masa yang disumbangkan dalam akvititi sukarelawan meningkat sebanyak 46% dan MHB kini menyelaraskan pengurusan iklim syarikat mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan risiko iklim dan analisis senario.

 

Menurutnya, syarikat akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi operasi, penglibatan kakitangan dan menambah baik pengalaman pelanggan.

 

"Kami bukan sekadar meluaskan operasi, tetapi berkembang dengan tujuan yang jelas. Kami komited untuk membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih baik dan sihat," ujarnya. - DagangNews.com