Jualan separuh pertama hanya cecah 35%, IOI Properties kekal sasaran jualan RM2 bilion pada FY25 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan separuh pertama hanya cecah 35%, IOI Properties kekal sasaran jualan RM2 bilion pada FY25 - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - IOI Properties Group Bhd mengekalkan sasaran jualan sebanyak RM2 bilion pada FY25 walaupun jualan hartanahnya pada 1HFY25 hanya mencecah paras 35%, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu yakin, sasaran itu boleh dicapai dengan permintaan kukuh produk perbandaran terasnya.

 

Selain itu katanya, kumpulan itu juga akan menerima manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) khususnya bagi Bandar Putra Kulai dan IOI Industrial Park Iskandar Malaysia. 

 

"Kumpulan itu juga melihat peningkatan minat terhadap taman perindustriannya di Lembah Klang khususnya di IOI Industrial Park Banting.

 

"Pihak pengurusan juga mendedahkan, Surat Niat (LOI) telah dimeterai dengan pengendali pusat data bagi taman perindustrian di Banting dan Kulai," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, IOI Properties mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM94.78 juta pada 2QFY25 berbanding RM121.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM729 juta berbanding RM606.90 juta, didorong peningkatan prestasi dalam pelaburan hartanah dan segmen hospitaliti dan riadah.

 

Bagi 1HFY25, untung bersih kumpulan susut kepada RM163.95 juta daripada RM295.94 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM1.42 bilion daripada RM1.25 bilion sebelumnya.

 

TA Securities menjangkakan kekuatan dalam segmen pelaburan hartanah, terutamanya dalam runcit, dengan IOI City Mall kekal sebagai pemacu utama berikutan penghunian yang tinggi.

 

Katanya, pengurusan melihat potensi peningkatan untuk IMD, kerana kadar sewa semasanya berada di bawah paras pasaran dan boleh diselaraskan ke atas semasa rundingan penyewaan.

 

"Bagi menyokong usaha itu, IOI Properties merancang untuk memajukan pusat beli-belah dengan meningkatkan aktiviti promosi dan menyusun semula semula susun aturnya bagi memacu jejak yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen riadah dan hospitaliti diyakini mencatatkan prestasi lebih kukuh pada FY25, disokong peningkatan pelancongan, kadar penghunian yang lebih tinggi dan purata kadar bilik harian yang lebih baik.

 

"Pengambilalihan W KL dan Courtyard by Marriott Penang baru-baru ini, bersama-sama dengan pembukaan Moxy Hotel Putrajaya dan sumbangan yang lebih baik daripada hotel yang telah diubah suai, telah mengukuhkan lagi portfolio kumpulan dan aliran pendapatan berulang.

 

"Kami mengekalkan sasasaran "beli" pada harga sasaran (TP) RM2.97 sesaham," katanya. - DagangNews.com