Jualan racun rumpai MSMA naik, Kenanga ramal Ancom Nylex catat untung lebih baik pada FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan racun rumpai MSMA naik, Kenanga ramal Ancom Nylex catat untung lebih baik pada FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Okt - Ancom Nylex Berhad diramal mencatatkan keuntungan lebih baik pada FY26 dipacu peningkatan jualan racun rumpai monosodium methanearsonate (MSMA) serta peningkatan tempahan bagi bahan aktif baharu, kata Kenanga Research.

 

Katanya, kumpulan itu berpotensi mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi produk racun MSMA selain tempahan yang lebih baik untuk bahan pengawet kayu serta bahan aktif baharu.

 

Produk MSMA kini semakin popular dalam kalangan penanam tebu di Brazil, dan Ancom Nylex sedang menunggu satu lagi kelulusan kawal selia bagi membolehkan penggunaannya dipasarkan untuk tanaman kacang soya (soyabean).

 

"Meskipun belum menerima kelulusan rasmi, syarikat percaya segelintir petani kacang soya telah mula mencuba produk berkenaan, justeru volum jualan MSMA dijangka meningkat 10% pada FY26 dan 15% pada FY27 sebaik kelulusan penuh diperoleh dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan Ancom Nylex pada 1QFY26 naik 52% kepada RM20 juta disokong peningkatan margin bahan kimia

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen bahan pengawet kayu, eksport ke Amerika Syarikat (AS) kekal stabil di bawah kontrak tiga tahun (Jun 2024 hingga 2027). 

 

Katanya, margin keuntungan awal sebelum ini terjejas akibat kadar tambang tinggi, namun trend kadar penghantaran yang kini menurun dijangka mengembalikan margin lebih baik.

 

Kumpulan itu baru-baru ini mula menghantar produk bahan aktif  “T” dengan jangkaan jualan sebanyak 500,000 tan metrik pada FY26, meningkat kepada 800,000 juta tan metrik atau lebih pada FY27. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, kumpulan itu menerusi Ancom Logistics Berhad yang memiliki 34% kepentingan, bercadang mengambil alih Green Lagoon Technology (GLT) bernilai RM120 juta melalui penerbitan 1 bilion saham baharu.

 

Bagi mengekalkan GLT sebagai syarikat bersekutu, Ancom Nylex akan melanggan 2.7 juta saham baharu bernilai RM22 juta tunai, membolehkannya memegang 17% kepentingan langsung sebelum pengambilalihan (RTO). 

 

"Selepas selesai pengambilalihan, pegangan Ancom Nylex akan meningkat kepada 22%, berbanding 21% di bawah cadangan asal," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham.- DagangNews.com