KUALA LUMPUR 21 Okt - Keuntungan bersih Ancom Nylex Berhad naik 51.9% kepada RM20 juta bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2025 (1QFY26) berbanding RM13.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Ia didorong peningkatan margin dalam segmen bahan kimia pertanian dan industri.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, pendapatan kumpulan bagaimanapun susut kepada RM447.35 juta berbanding RM515.54 juta pada suku sama tahun sebelumnya, dipengaruhi penurunan hasil dalam segmen pegangan pelaburan serta logistik.
"Segmen bahan kimia pertanian mencatatkan hasil sebanyak RM137.2 juta bagi suku kewangan semasa, meningkat daripada RM136.6 juta pada suku yang sama tahun lalu dengan keuntungan segmen meningkat kepada RM24.9 juta berbanding RM22.1 juta pada suku yang sama tahun lalu, didorong peningkatan margin keuntungan.
"Hasil bagi segemen bahan kimia industri pula menurun kepada RM268 juta berbanding RM339.5 juta pada suku yang sama tahun lalu tetapi keuntungannya meningkat kepada RM10.2 juta, naik daripada RM7.5 juta pada suku yang sama tahun lalu, disokong margin keuntungan lebih tinggi dan kecekapan operasi yang lebih baik dalam perniagaan pengedaran," katanya.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom Nylex, Datuk Lee Cheun Wei berkata, pihaknya menjangkakan prospek jualan eksport yang lebih baik pada masa hadapan, disokong oleh kitaran perolehan baharu di pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Australia, di mana aktiviti pembelian biasanya meningkat menjelang musim penanaman mereka.
Katanya, bahan aktif baharu Ancom Nylex, yang telah memulakan pengeluaran komersial pada suku sebelumnya, telah berjaya memperoleh beberapa tempahan penghantaran ke Brazil, dengan pesanan tambahan sedang dimuktamadkan untuk pasaran eksport lain.
Katanya, permintaan dijangka meningkat secara berperingkat dalam suku-suku akan datang, sejajar dengan musim aplikasi racun herba di negara-negara hemisfera selatan.
"Kami masih optimis untuk mendapatkan kelulusan bagi kegunaan pada tanaman kacang soya menjelang akhir 2025, sekali gus membuka laluan untuk pengkomersialan pada musim penanaman 2026.
"Perkembangan ini amat penting memandangkan kacang soya merupakan tanaman berskala besar di Brazil, dengan jumlah kawasan tanaman kira-kira lima kali ganda lebih luas daripada tebu," katanya.- DagangNews.com








