KUALA LUMPUR 11 Mac - Jumlah jualan Kossan Rubber Industries Berhad dijangka menyusut dari suku tahun ke suku tahun pada 1QFY25 kesan daripada kekurangan tempahan daripada pelanggan Amerika Syarikat (AS) sekali gus membawa kepada permintaan yang lebih lemah bagi tiga bulan pertama 2025.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) bagaimanapun menjangkakan jumlah jualan kembali pulih bermula 2QFY25 dan seterusnya apabila tahap inventori AS menjadi normal.
Katanya, kelemahan harga saham kumpulan baru-baru ini juga mencerminkan ketidaktentuan mengenai dasar tarif AS.
"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap Kossan, disokong peningkatan berurutan dalam volum jualan apabila pelanggan kembali menambah inventori yang semakin berkurangan.
"Walaupun Kossan menghadapi cabaran domestik, termasuk peningkatan kos buruh daripada gaji minimum yang lebih tinggi, kumpulan itu tetap komited untuk meningkatkan kecekapan kos melalui automasi, pendigitalan dan pengoptimuman operasi," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Kossan kini beroperasi pada kadar penggunaan 70% berdasarkan kapasiti pemasangan tahunan 24.5 bilion keping, dengan kira-kira 75% mesinnya berumur kurang daripada 10 tahun.
Katanya, kumpulan kekal fokus pada automasi dan merancang untuk menambah enam barisan pengeluaran baharu, meningkatkan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 3 bilion keping menjelang 2HFY25.
"Jangkaan belanjawan Kossan untuk FY25 adalah kira-kira RM80 juta, diperuntukkan untuk menambah baik kecekapan operasi melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kos untuk pengambilan tanah baharu," katanya.
PublicInvest berkata, purata harga campuran (ASP) sarung tangan Kossan berada antara AS$22 hingga AS$23 bagi setiap 1,000 keeping pada 4QFY24 dengan ASP sarung tangan nitril berada pada harga AS$18/1,000 keping untuk pasaran AS dan AS$17 hingga AS$17.5/1,000 keping untuk pasaran bukan AS.
"Kami mendapati pengeluar sarung tangan China telah meningkatkan persaingan di pasaran bukan AS, dengan harga AS$15 hingga AS$16/1,000 keping disebabkan kenaikan tarif AS yang akan berlaku ke atas sarung tangan perubatan China berkuat kuasa Januari 2025.
"Melangkah ke hadapan, kami percaya bahawa ASP Kossan akan stabil pada AS$21 hingga AS$22/1,000 keeping," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.65 sesaham. - DagangNews.com








