KUALA LUMPUR 18 Mac — Jualan kenderaan di Malaysia merosot ketara sebanyak 19% pada Februari 2026, disifatkan mencerminkan kelembapan sementara industri, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Sebaliknya, organisasi berkenaan dalam kenyataan hari ini, menjangka prospek perniagaan automotif kembali pulih menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan selepasnya sekitar Mac 2026.
Menurut MAA, jumlah volum industri (TIV) didapati susut kepada sebanyak 52,414 unit sepanjang bulan lalu, berbanding kira-kira 65,052 unit yang pernah dicatatkan pasaran pada tempoh sama tahun lalu.
"Secara bulanan (MoM), TIV turut mencatat penurunan 19% daripada 64,298 unit pada Januari 2026, disebabkan faktor hari bekerja yang lebih pendek, dan penutupan kilang selama seminggu," jelasnya.
Keadaan tersebut tambahnya, bersempena dengan cuti sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi jualan kenderaan diramal kembali meningkat balik pada Mac 2026, didorong permintaan perayaan Aidilfitri.
Jualan ujar MAA, dijangka bertambah baik sepanjang bulan ini, dan statistik penurunan dicatatkan pada Februari 2026 disebabkan terutamanya oleh jualan kenderaan penumpang yang merosot 21%.

Begitu juga jualan kenderaan komersial yang menurutnya, mencatatkan penurunan tetapi lebih kecil iaitu hanya sebanyak 2%, dan dalam masa yang sama, pengeluaran kenderaan turut terjejas ketara.
"Kami difahamkan ia susut sebanyak 20% tahun ke tahun (YoY) dan lebih 18% (MoM) bulan ke bulan kepada keseluruhannya kira-kira 49,741 unit sahaja," kata MAA menerusi kenyataan berkenaan.
Daripada jumlah pengeluaran tersebut jelas persatuan itu, sebanyak 46,808 unit adalah jenis kenderaan penumpang manakala hanya sejumlah 2,933 unit terdiri dalam kalangan kenderaan komersial.
Secara kumulatif tambah MAA, jumlah keseluruhan pengeluaran bagi tempoh dua bulan pertama 2026 menurun kira-kira 7% kepada 110,607 unit berbanding 119,540 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Walaupun prestasi Februari 2026 adalah lemah, TIV bagi tempoh dua bulan pertama masih mencatat peningkatan kecil sebanyak 1% kepada 116,712 unit berbanding 115,501 unit pada tempoh sama 2025.
"Perkembangan positif ini menggambarkan trend permintaan asas yang masih lagi stabil dalam industri automotif tempatan," jelasnya. - DagangNews.com








