Jualan bahagian automotif Supercomnet dijangka naik pada separuh kedua 2025, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan bahagian automotif Supercomnet dijangka naik pada separuh kedua 2025, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Jualan bahagian automotif Supercomnet Technologies Berhad dijangka meningkat pada separuh kedua 2025 didorong kos lebih rendah dan kehadiran dua pelanggan baharu, kata TA Securities.

 

Bagaimanapun, jualan kepada Stellantis kekal tidak berubah berikutan permintaan lemah untuk kereta Peugeot di rantau Asia Pasifik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu masih berbincang dengan pemain automotif Eropah untuk menghasilkan abah-abah wayar untuk model Chrysler di pasaran Amerika Syarikat dan beberapa pelanggan besar berpotensi.

 

"Kami memahami Supercomnet telah lulus audit oleh bakal pelanggan besar dan mereka meminta kumpulan itu melabur dalam beberapa peralatan berteknologi tinggi sebelum diiktiraf sebagai pembekal yang layak.

 

"Berikutan ini, pengeluaran besar-besaran abah-abah wayar mungkin bermula pada Jun 2025," katanya dalam satu nota kajian.

 

terdahulu, untung bersih FY24 kumpulan itu meningkat 78% kepada RM31.3 juta didorong peningkatan 8.5% dalam hasil.

 

Hasil daripada segmen perubatan meningkat kira-kira 22% kepada RM120 juta, disebabkan jualan yang lebih tinggi bagi endoskopi sekali pakai dan kabel ECG.

 

Keadaan itu membantu mengimbangi jualan yang lebih lemah dalam segmen automotif dan industri. 

 

Pengurusan berkata, segmen automotif melaporkan kerugian kira-kira RM2.4 juta pada FY24 berbanding keuntungan sekitar RM250,000 pada FY23.

 

TA Securities meramalkan jualan Supercomnet daripada bahagian perubatan meningkat 23.4% kepada RM147.6 juta pada FY25. Selain itu, peralihan berterusan kumpulan kepada produk nilai tambah yang lebih tinggi akan memacu margin untung bersih.

 

Katanya, pengurusan yakin pertumbuhan jualan boleh dikekalkan dan akan meningkat antara 10% hingga 15% (tidak termasuk EEG) pada FY25, didorong permintaan yang berdaya tahan untuk gastroskop dan jualan endoskopi penggunaan tunggal yang lebih tinggi. 

 

"Produk baharu kumpulan seperti Kabel Elektrod EEG Magnetar, berada di landasan untuk membuat sumbangan sulungnya pada suku ketiga 2025. 

 

"Sumbangan jualan EEG dijangka sekitar RM6 juta pada FY25," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.63 sesaham.- DagangNews.com