KUALA LUMPUR 28 Jan – Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menumpukan kepada sektor seperti logistik dijangka menarik syarikat logistik yang berpengkalan di Singapura untuk membuka cawangan mahupun menubuhkan syarikat kerjasama dengan syarikat tempatan.
Ketua Program Logistik dan Perkapalan Antarabangsa Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Mohd Azam Din berkata syarikat yang dilihat akan menikmati manfaat JS-SEZ adalah syarikat yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Antara servis yang dilihat menikmati limpahan ekonomi ini adalah perkhidmatan gudang dan pengangkutan rentas sempadan,” kata beliau kepada DagangNews.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa syarikat perkapalan yang menawarkan perkhidmatan perkapalan akan mengekalkan pejabat serantau di Singapura.
Inisiatif JS-SEZ yang menumpukan kepada sektor seperti logistik turut harus mengambil kira faktor Pelabuhan Singapura yang merupakan pelabuhan utama dunia, tegas beliau.
Berdasarkan maklumat zon ekonomi JS-SEZ, ia direka berdasarkan industri strategik, di mana lima daripada sembilan zon menyenaraikan logistik sebagai industri fokus.
Zon ekonomi Sedenak, Senai-Skudai, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) adalah zon yang menyenaraikan sektor logistik sebagai industri fokus.
“Antara faktor menyumbang kepada persetujuan JS-SEZ adalah isu tanah terhad di Singapura and Johor dilihat mengambil peluang untuk menjadi rakan strategik, dimana Johor meletakkan posisi yang lebih baik berbanding negeri lain.
“Namun, jika melihat dari aspek pergerakan bahan dan kargo, pada pendapat saya mungkin tidak banyak perubahan kerana pelabuhan mempunyai hadnya.
"Pelabuhan Tanjung Pelepas pada ketika ini merekodkan kira-kira 80 peratus pergerakan kontena pemindahan (transshipment) manakala 20 adalah kontena domestik dari Johor,” kata beliau lagi.

Mohd Azam turut berkata, pada masa yang sama, Singapura sedang membina Pelabuhan Tuas yang bersaiz mega dan pergerakan (kontena) mungkin berpindah ke Tuas Megaport sebaik sahaja ia mula beroperasi.
Awal bulan ini, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.
JS-SEZ adalah projek pembangunan mega yang merangkumi kawasan seperti Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai, dan Sedenak.
Zon ekonomi itu disasarkan antara lainnya menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
Terdahulu dilaporkan bahawa inisiatif JS-SEZ berpotensi memberi lonjakan pendapatan sebanyak RM122.52 bilion kepada ekonomi Johor menjelang 2030, kata Maybank Investment Bank.
Lonjakan pendapatan itu akan dipacu usaha kerajaan dalam memudahkan urusan pelaburan dalam 11 sektor, merangkumi pembuatan, logistik, keselamatan makanan, pelancongan, tenaga, ekonomi digital, ekonomi hijau, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, pendidikan dan kesihatan.
Firma penyelidikan itu berkata, sasaran JS-SEZ adalah untuk mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dan menarik 50 projek dalam tempoh lima tahun pertama, dan 100 projek dalam sepuluh tahun. - DagangNews.com








