KUALA LUMPUR 18 Feb - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menjadi pemangkin utama bagi memacu peningkatan permintaan dalam sektor industri dan hartanah, kata TA Securities.
Katanya, lonjakan itu akan disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), peningkatan infrastruktur yang ketara, dan ketersambungan rentas sempadan yang diperkukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) dicadangkan Amerika Syarikat (AS), perbincangan dengan pembangun menunjukkan minat dan pertanyaan untuk tanah pusat data kekal kukuh, mencerminkan keyakinan berterusan daripada pemain teknologi global.
"Industri pembuatan, logistik dan berteknologi tinggi akan memacu permintaan tanah perindustrian bukan berkaitan pusat data, yang memberi manfaat kepada pemilik tanah utama dan pemaju taman perindustrian.
"Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) Link yang ditetapkan untuk beroperasi pada awal 2027, memangkin permintaan perumahan di Pusat Bandaraya Johor, memanfaatkan Crescendo Corp Bhd, EXSIM Hospitality Bhd, Iskandar Waterfront Holdings Bhd, Mah Sing Group Bhd dan SP Setia Bhd.
"Dengan perjanjian induk terbaharu yang ditandatangani dengan MRT Corp bagi Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bersebelahan stesen RTS, Sunway Bhd merupakan penerima terbaharu.
"Pemilik tanah yang besar berpeluang mendapat manfaat daripada penilaian semula bank tanah yang ketara, didorong oleh minat pelabur yang semakin meningkat dalam taman perindustrian dan pembangunan bercampur," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, JS-SEZ dan ketersambungan rentas sempadan yang lebih baik bersedia untuk mengubah pasaran hartanah Johor, mewujudkan peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk pertumbuhan dan pelaburan.
Katanya, pemaju dengan bank tanah yang strategik, kepakaran dalam pembangunan perindustrian dan berorientasikan transit, dan rekod prestasi yang kukuh dalam perbandaran bersepadu berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan itu.
"Walaupun wujud pelbagai cabaran tetapi kami percaya prospek jangka panjang bagi pasaran hartanah Johor kekal optimis," katanya.
IOI Propeties Group Bhd kekal sebagai pilihan utama TA Securities kerana bank tanahnya yang luas di Johor dinilai rendah dan bersedia untuk penarafan semula utama di tengah-tengah pasaran hartanah negeri yang berkembang pesat. - DagangNews.com








