JS-SEZ bakal dorong pertumbuhan saham lapan sektor, TA Securities yakin Johor meraih manfaat daripada limpahan pelaburan Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JS-SEZ bakal dorong pertumbuhan saham lapan sektor, TA Securities yakin Johor meraih manfaat daripada limpahan pelaburan Singapura

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Sebanyak lapan sektor saham dikenal pasti sebagai penerima manfaat utama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mampu membina sinergi bagi menarik pelaburan global, kata TA Secuities.

 

Firma penyelidikan berkata, saham sektor perbankan, pembinaan, pengguna, minyak dan gas, hartanah, kuasa dan utiliti, teknologi dan telekomunikasi bakal menjadi penerima saham utama JS-SEZ.

 

"Johor diyakini meraih manfaat daripada kesan limpahan ekonomi dan pelaburan Singapura," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Walaupun kedua-dua negara telah bekerjasama untuk membangunkan zon ekonomi di Johor sejak pelancaran Iskandar Malaysia, TA Securities berkata, negeri itu memerlukan insentif agresif, promosi, kumpulan bakat dan infrastruktur yang kukuh untuk menarik pelaburan dan mencapai sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerajaan negeri sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, meningkat daripada RM148.2 bilion pada 2023.

 

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), antara 2006 dan Disember 2023, Iskandar Malaysia menerima jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM413.1 bilion, melepasi sasaran RM383 bilion yang ditetapkan pada akhir 2025.

 

Daripada jumlah ini, RM291.4 bilion atau 70%, telah direalisasikan dan seterusnya dijangka menarik RM636 bilion dalam pelaburan komited menjelang 2030.

 

"JS-SEZ tidak datang dengan sebarang sasaran kewangan tetapi inisiatif yang digariskan di bawah zon ekonomi ini dijangka melengkapkan matlamat yang ditetapkan untuk Iskandar Malaysia," katanya.

 

TA Research berkata,Johor memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia dengan asas ekonominya yang pelbagai termasuk pembuatan, pertanian, pelancongan dan perkhidmatan.

 

“Kemasukan perkhidmatan kewangan sebagai sektor utama dalam JS-SEZ amat penting, kerana ia akan membantu meningkatkan peranan Johor dalam landskap ekonomi Malaysia yang lebih luas.

 

“Dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif kepada pertumbuhan teknologi kewangan, perbankan digital dan perkhidmatan kewangan lain, zon itu boleh menjadi pusat kewangan serantau utama,” katanya.

 

Katanya, JS-SEZ mungkin bersaing dengan Lembah Klang, memandangkan pertumbuhan KDNK Johor mengatasi ekonomi negara pada 2023.

 

“Kami menjangkakan sasaran pertumbuhan ini akan disemak dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (bermula pada Julai 2025), memandangkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kekal optimis mengenai trajektori pembangunan negeri,” katanya.- DagangNews.com