KUALA LUMPUR 24 Mac - Johor dijangka menjadi penyumbang utama kepada pertambahan projek baharu Binastra Corporation Bhd pada FY26, kata RHB Research.
Katanya, pelanggan utama kumpulan itu, Exsim Development dan Maxim Global sedang berkembang ke Johor Bahru dengan projek yang akan datang khususnya di sekitar stesen Sistem Transit Rapid Bukit Chagar berpotensi mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM5 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu akan diterjemahkan dengan pemberian kontrak sekurang-kurangnya RM2.5 bilion yang boleh diraih Binastra.
"Kami menjangkakan beberapa projek baharu akan dilancarkan pada FY26.
"Johor sendiri telah melihat trend peningkatan unit kediaman yang dilancarkan daripada 2021 sehigga 2024, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, baru-baru ini kumpulan itu meneria kontrak RM250 jutabagi pusat data di Cyberjaya daripada MYT DC3 Sdn Bhd untuk AIMS Group.
Sebelum ini katanya, Gamuda merupakan kontraktor untuk AIMS Group (nilai kontrak kumulatif RM500 juta untuk tiga pekerjaan) dan mungkin meletakkan lebih tumpuan pada pekerjaan pusat data yang lebih besar yang berkaitan dengan syarikat multinasional.
"Sehingga kini, Binastra berjaya mendapatkan kontrak pusat data bernilai RM1.2 bilion.
"Kami percaya projek pusat data di Lembah Klang terutama Cyberjaya dan Bukit Jalil kekal tinggi dengan jumlah bekalan langsung diramal mencecah 232MW pada 2027 berbanding 88MW dalam 2024," katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga meraih projek loji rawatan kumbahan berumlah RM220 juta daripada Green Earth at Sri Hartamas (RM155 juta) dan F3 Development in Taman Bukit Cheras (bernilai RM68 juta).
Katanya, projek pembangunan semula tapak loji rawatan kumbahan di Taman Bukit Cheras berjalan lancar, kerana kumpulan itu telah menganugerahkan projek itu kepada Salcon sebagai subkontraktor melalui pakej RM11 juta.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.21 sesaham," katanya. - DagangNews.com








