KUALA LUMPUR 4 Mac - Johor berpotensi merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah negeri itu tahun ini apabila kutipan dua bulan pertama mencecah RM600 juta, meletakkan negeri berkenaan di landasan kukuh untuk melepasi sasaran RM3 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dengan purata kutipan RM300 juta sebulan bagi Januari dan Februari, Johor berupaya mencapai sehingga RM3.6 bilion sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan.
Katanya, jumlah itu bakal mengatasi unjuran RM2.7 bilion yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026 sebelum ini.
“Jika konsistensi ini berterusan, tidak mustahil untuk kita melepasi RM3 bilion tahun ini,” katanya ketika pemberita semalam.
Prestasi tersebut menyusuli pencapaian tahun lalu apabila Johor menutup tahun kewangan dengan kutipan RM2.6 bilion, iaitu RM600 juta melebihi sasaran awal RM2 bilion, mencerminkan pengukuhan pengurusan fiskal serta peningkatan aliran masuk pelaburan ke negeri itu.
Menurut beliau, lebihan hasil yang diperoleh akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek pembangunan dan program kebajikan yang bersasar.
Bagaimanapun, Onn Hafiz menegaskan pertumbuhan ekonomi negeri amat bergantung kepada faktor kestabilan politik dan ekonomi, khususnya dalam suasana geopolitik global yang mencabar dan ketidaktentuan pasaran semasa.
Beliau berkata, keyakinan pelabur hanya dapat diperkukuh sekiranya negeri menawarkan persekitaran yang stabil dan kondusif untuk perniagaan.
“Tidak kira betapa menariknya insentif yang ditawarkan atau serendah mana kos operasi, pelabur akan berhati-hati sekiranya tiada kestabilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kekuatan Johor terletak pada perpaduan rakyatnya menerusi semangat Bangsa Johor yang menjadi asas keharmonian sosial dan daya tahan ekonomi negeri.
Pada majlis berkenaan, pengamal media yang berdaftar dengan Kelab Media Johor menerima RM500 setiap seorang, iaitu bayaran fasa kedua di bawah inisiatif BKJ 2.0 melibatkan peruntukan keseluruhan RM200,000 seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2026. - DagangNews.com








