KUALA LUMPUR 26 Feb - JHM Consolidation Bhd menerima kontrak pembekalan alat ganti kereta bernilai RM115.22 juta daripada Magna Autosystems Inc.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut diterima oleh anak syarikat milik penuh JHM Consolidation Bhd, Morrissey Assembly Solution Sdn Bhd (MASSB).
Katanya, menerusi kontrak itu, subsidiari JHM akan membekalkan alat ganti untuk model kereta di Amerika Syarikat.
"Kontrak pembekalan alat ganti itu dijangka bermula pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan akan berterusan selama 30 bulan.
“Sementara itu, kontrak tersebut dijangka menyumbang kepada pendapatan JHM dalam tempoh 30 bulan bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Antara faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia.
"Selain itu, risiko operasi seperti kekurangan bahan dan buruh mahir yang mana kami akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkannya,” kata JHM. - DagangNews.com








