JF Technology beli 80% saham syarikat Singapura Q3 Probe bernilai RM6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JF Technology beli 80% saham syarikat Singapura Q3 Probe bernilai RM6 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Mac - JF Technology Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, JF International Sdn Bhd, membeli 80% kepentingan dalam Q3 Probe Pte Ltd (Q3) daripada Spire Manufacturing Inc yang bernilai RM6 juta, dengan pilihan untuk memperoleh baki 20% kepentingan tersebut menjelang 31 Disember 2027.

 

Q3, syarikat pakar dalam pembuatan kad probe yang berpusat di Singapura, mencatatkan keuntungan bersih kira-kira RM767,000 dalam tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2024.

 

Syarikat berkenaan kini dimiliki sepenuhnya oleh SMI dari Amerika Syarikat.

 

Ia pakar dalam reka bentuk susun atur khusus bagi papan litar bercetak (PCB) dan perkakasan, pemasangan PCB, pembuatan kad probe dan bahagian yang diproses yang digunakan dalam pelbagai industri, dari semikonduktor ke optik, tanpa wayar dan jalur lebar, serta pencahayaan LED.

 

Pengambilalihan yang dicadangkan, melibatkan satu perjanjian untuk menerima bayaran tambahan sebanyak RM401,000 pada akhir setiap tahun selama tiga tahun selepas penyelesaian pengambilalihan. 

 

Jumlah keseluruhan bayaran tambahan adalah lebih kurang RM1.2 juta, bergantung kepada pencapaian jaminan keuntungan yang diberikan oleh penjual. 

 

Pengarah Urusan JF Technology, Datuk Foong Wei Kuong berkata, pengambilalihan itu mewujudkan kerjasama yang kukuh dan memantapkan bahagian-bahagian dalam perniagaan rumusan kejuruteraan ujian syarikat.

 

"Q3 kini membekalkan produk yang dipatenkan ke pasaran. Kami merancang untuk menubuhkan barisan pengeluaran di Malaysia bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang terdiri daripada lebih 200 syarikat multinasional," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Tambah beliau, selepas pengambilalihan yang dicadangkan selesai, kumpulan akan menjadi satu-satunya penyedia di Malaysia yang mempunyai produk kad probe yang lengkap. 

 

"Pengambilalihan ini datang dengan jaminan keuntungan untuk tiga tahun kewangan, yang akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan. 

 

"Melihat ke hadapan, prospek Q3 cerah dengan permintaan yang kukuh daripada aplikasi kenderaan elektrik," ujarnya. - DagangNews.com