KUALA LUMPUR 11 Nov – Kementerian Digital hari ini meneruskan agenda nasional memperkasa ekonomi digital negara menerusi penganjuran Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah yang berlangsung di Pasar Taman Semarak, Tawau, dengan majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kementerian itu, penganjuran JMD @ Sabah mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas manfaat ekonomi digital kepada seluruh rakyat khususnya di luar bandar dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pemerkasaan komuniti dan penciptaan peluang ekonomi baharu.
Katanya, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi AI Nation 2030 dan Malaysia MADANI, yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman dalam pembangunan negara.
Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, agenda pendigitalan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek teknologi semata-mata, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha membina masyarakat dan ekonomi yang lebih seimbang serta inklusif.
“Pendigitalan bukan sekadar soal teknologi, tetapi tentang bagaimana kita membina Malaysia MADANI, sebuah negara yang berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman. Usaha ini mesti menjamin bahawa tiada kelompok rakyat yang tertinggal daripada manfaat ekonomi digital, termasuk masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri menambah, ekonomi digital kini menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dengan pembangunan ekosistem digital di Sabah, kerajaan yakin penyertaan komuniti tempatan dapat terus diperkukuh.
Sementara itu, Kementerian Digital dalam kenyataan sama berkata, JMD @ Sabah merupakan antara siri jelajah utama yang dilaksanakan bagi memperkukuh ekosistem digital negeri serta memperkasa komuniti di peringkat akar umbi supaya lebih bersedia menyertai arus ekonomi digital negara.
“Kementerian Digital komited untuk memastikan transformasi digital memberi impak sebenar kepada rakyat. Melalui JMD, kami membawa peluang latihan, pendedahan kepada teknologi baharu serta akses kepada program keusahawanan digital ke seluruh pelusuk negara,” katanya.
Program JMD turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran teknologi, bengkel pendigitalan untuk usahawan mikro, sesi latihan kemahiran digital dan ceramah inspirasi, yang disertai pelbagai agensi kerajaan serta pemain industri tempatan.
Dengan pelaksanaan berterusan jelajah seperti ini, kementerian yakin ekonomi digital mampu menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan inklusif dan peningkatan taraf hidup rakyat, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara digital progresif menjelang 2030. - DagangNews.com








