IPOH 23 Jun – Jualan sebanyak RM1 juta disasarkan pada acara pesta buku terbesar, Big Bad Wolf edisi Perak yang bakal berlangsung di Ipoh dari 3 hingga 13 Julai depan.
Lebih menarik, pengunjung bertuah berpeluang memenangi jongkong emas seberat 10 gram menerusi kempen ‘Spend and Win’ serta ‘Snap and Win’.
Pengurus Kanan Penajaan, Kerjasama Strategik dan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim Sooi Yee berkata, AEON BiG Falim kekal menjadi lokasi penganjuran.
Menurut beliau, pesta buku selama 11 hari itu akan menampilkan sehingga satu juta naskhah buku daripada pelbagai kategori dengan diskaun sehingga 95 peratus.

“Antara tarikan utama pesta buku kali ini ialah buku berharga RM2, RM3 dan RM5 selain set koleksi lengkap yang ditawarkan pada harga istimewa.
“Siri popular Harry Potter turut ditawarkan dengan diskaun menarik kepada para pengunjung.
“Selain itu, pelajar dan guru akan menikmati diskaun tambahan lima peratus bagi pembelian sekurang-kurangnya tiga buah buku,” ujarnya semasa sesi pengenalan Big Bad Wolf Ipoh 2026 di sini.
Sepanjang pesta tersebut, penganjur turut menawarkan baucar RM10 kepada 50 pengunjung terawal setiap hari serta diskaun segera sehingga RM15 berdasarkan jumlah perbelanjaan.


Chloe memberitahu, pengunjung tidak perlu membuat sebarang pembelian untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah menerusi kempen ‘Snap and Win’.
“Peserta hanya perlu mengambil gambar bersama keluarga atau rakan di lokasi acara, memuat naiknya ke media sosial dan menanda akaun rasmi Big Bad Wolf Books.
“Bagi kempen ‘Spend and Win’, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM85 dalam satu resit akan menerima satu penyertaan automatik,” ujarnya. - DagangNews.com








