JCorp pilih Maybank sebagai penasihat tunggal untuk rangka kerja kewangan lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JCorp pilih Maybank sebagai penasihat tunggal untuk rangka kerja kewangan lestari

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb – Johor Corporation mewujudkan Rangka Kerja Kewangan Lestari pertamanya, sekali gus menjadi institusi pembangunan Malaysia pertama dengan portfolio pelbagai sektor yang melaksanakan inisiatif tersebut. 

 

Bagi merealisasikan matlamat itu, Maybank Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat struktur lestari tunggal untuk memastikan pelaksanaan kerangka itu berjalan lancar.

 

Dalam penilaian bebas pada Disember 2025, MARC Solutions Sdn Bhd memberikan penarafan “Gold” bagi kerangka JCorp melalui Second Party Opinion (SPO), mengesahkan kesesuaian kerangka ini dengan garis panduan tempatan, serantau dan global.

 

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak itu berkata rangka kerja tersebut membolehkan JCorp dan anak syarikatnya, termasuk syarikat tujuan khas dan usaha sama meningkatkan dan menyalurkan pembiayaan lestari merentasi lima sektor teras.

 

“Lima sektor utama tersebut ialah kesejahteraan dan kesihatan, hartanah dan infrastruktur, makanan dan restoran, agribisnes dan pelaburan strategik untuk pembangunan jangka panjang.

 

“Kerangka ini merangkumi pelbagai transaksi kewangan lestari seperti sukuk dan bon hijau, sosial, serta pelaburan lestari dan bertanggungjawab (SRI), selain pinjaman dan pembiayaan lain, bagi menyokong pelaburan yang memberi impak sosial dan alam sekitar,” kata kenyataan itu.

 

t
Syed Mohamed (kiri) dan Michael Oh-Lau

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata kelestarian bukan sekadar tambahan sebaliknya ia sebahagian daripada cara JCorp mengagihkan modal, mengurus risiko dan mengekalkan aset. 

 

“Dengan misi Membina dan Membela, kami menyalurkan modal secara bertanggungjawab untuk hasil nyata di Johor dan Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad Michael Oh-Lau berkata rangka kerja JCorp memberi kredibiliti kepada pembiayaan lestari dan memperluas impak kumpulan JCorp sebagai pelabur dalam pelbagai industri. 

 

“Kami terus menyokong perjalanan syarikat ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.

 

Maybank menyasarkan RM300 bilion pembiayaan lestari dalam tempoh lima tahun akan datang, selepas berjaya menyalurkan RM156.3 bilion dari 2021 hingga suku ketiga 2025. - DagangNews.com