JCorp lepaskan 5% pegangan dalam Johor Plantations dianggarkan mencecah RM190 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JCorp lepaskan 5% pegangan dalam Johor Plantations dianggarkan mencecah RM190 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mac – Langkah Johor Corporation (JCorp) melupuskan 5% pegangannya dalam Johor Plantations Group Berhad (JPG) pada harga diskaun menarik perhatian pelabur kumpulan itu.


Menerusi maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, anak syarikat JCorp, Kulim (Malaysia) Berhad, menjual sebanyak 125 juta saham pada 17 Mac 2026, yang mewakili kira-kira 5% kepentingan dalam JPG.


Usaha pelupusan tersebut mengurangkan pegangan JCorp dalam JPG kepada sebanyak 1.49 bilion saham atau bersamaan kira-kira 59.457%, namun kumpulan itu masih kekal sebagai pemegang saham terbesar.


Walaupun nilai transaksi rasmi tidak didedahkan, data Bloomberg menunjukkan saham itu diniagakan pada harga RM1.52 sesaham menerusi 13 transaksi blok, menjadikan nilai keseluruhan ialah RM190 juta.


Harga tersebut mewakili diskaun kira-kira 4.4% berbanding harga penutup RM1.59 pada hari dagangan sama, dengan pelabur turut menyifatkan langkah berkenaan sebagai strategi pemegangan ekuiti syarikat itu.


Selain JCorp, antara pemegang saham utama lain dalam JPG ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 8.293% dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak 5.442%.


Saham JPG ditutup masih lagi tidak berubah kepada RM1.59 dalam dagangannya pada lewat 18 Mac 2026, sekali gus memberikan permodalan pasaran syarikat perladangan berkenaan sekitar RM3.98 bilion.


JPG disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Julai 2024 pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 83 sen, dan sejak itu harga sahamnya hampir berganda dengan kenaikan 91.6%. - DagangNews.com