Jambatan Sejingkat dijangka dibuka seawal 1 Oktober 2026 - Douglas Uggah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jambatan Sejingkat dijangka dibuka seawal 1 Oktober 2026 - Douglas Uggah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Jambatan Sejingkat di Kuching Sarawak yang merentasi Sungai Sarawak dijangka mula dibuka kepada pengguna seawal 1 Oktober 2026, lebih awal daripada tarikh siap projek yang ditetapkan pada 22 Oktober 2026, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

 

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, kontraktor ketika ini tidak berdepan isu besar berkaitan tenaga kerja atau pembiayaan, manakala keadaan cuaca yang baik membantu mempercepatkan kemajuan kerja pembinaan.

 

“Kami semua bersetuju kenderaan akan mula melalui jambatan ini pada 1 Oktober 2026. Bukan 2027,” katanya kepada media selepas meninjau kerja-kerja penyambungan akhir Jambatan Sejingkat pada Isnin. 

 

Projek bernilai RM365.74 juta itu dilaksanakan oleh KACC Construction Sdn Bhd, dengan Minsar Consult Sdn Bhd sebagai Perunding Kejuruteraan Awam dan Struktur serta OPUS Consultant (M) Sdn Bhd sebagai Perunding Pengurusan Projek.

 

Jambatan dua hala sepanjang 1,281.2 meter itu dibina mengikut piawaian JKR R5, dengan struktur utama menggunakan reka bentuk jambatan kabel yang mempunyai tiga rentang sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter.

 

Laluan pendekatan di Tanjung Bako dan Sejingkat pula masing-masing mempunyai tiga rentang konkrit prategasan jenis T-girder sepanjang 40 meter.

 

Jambatan Utama Ke-12 Disiapkan

Uggah berkata, dengan siapnya jambatan itu pengguna dari Kota Samarahan dan Serian yang menuju Demak Laut, Petra Jaya tidak lagi perlu melalui pusat bandar Kuching, sekali gus mampu mengurangkan kesesakan.

 

Katanya, jambatan Sejingkat merupakan sebahagian daripada rangkaian Jalan Pesisir Sarawak dan menjadi jambatan utama ke-12 yang disiapkan di bawah program pembangunan infrastruktur Sarawak, dengan 11 jambatan telah siap sebelum ini.

 

Beberapa jambatan utama lain di Paloh, Saribas 2, Rambungan, Limbang dan Miri turut termasuk dalam program pembangunan jambatan negeri.

 

Uggah berkata Jambatan Sejingkat dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha menaik taraf infrastruktur di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

 

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa pembinaan jambatan itu akan menjejaskan operasi Pelabuhan Pending, sambil menegaskan pelabuhan tersebut kekal beroperasi sepenuhnya.

 

"Untuk tempoh jangka lebih panjang, Sarawak turut melihat keperluan memiliki pelabuhan baharu melangkaui kapasiti sedia ada dan ini dapat dilihat dalam rancangan kerajaan negeri membina pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang," katanya. - DagangNews.com