JAKS Resources menang subkontrak RM37.9 juta projek bekalan air di Kapit daripada I-Ilham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JAKS Resources menang subkontrak RM37.9 juta projek bekalan air di Kapit daripada I-Ilham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 MacJAKS Resources Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam segmen utiliti apabila memperoleh tender subkontrak projek bekalan air bernilai RM37.9 juta di Kapit, Sarawak.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata anak milik penuhnya, JAKS Sdn Bhd, sudah menerima surat penganugerahan (LOA) daripada I-Ilham Corporation Sdn Bhd pada 18 Mac 2026.


Kontrak tersebut melibatkan projek bekalan air di kawasan Nanga Merit, Kapit sebagai sebahagian daripada program grid bekalan air Sarawak, dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 18 bulan.


"Skop kerja berkenaan merangkumi pembinaan loji rawatan air serta pelbagai kerja-kerja paip yang berkaitan dengan subkontrak ditetapkan oleh pihak kontraktor terbabit," tambah JAKS Resources.


Menurut kenyataan kumpulan tersebut, tender baharu ini, bersama projek yang diumumkan sebelum ini, menjadikan jumlah nilai kontrak diperoleh bagi tahun kewangan 2026 setakat ini sekitar RM45 juta.


Projek berkenaan tambahnya, dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan tersebut bagi dua tahun kewangan masing-masing berakhir pada 31 Disember 2026 dan 2027.


"Syarikat turut menjelaskan bahawa kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan negatif kepada struktur modal saham dan pegangan saham yang sudah sedia ada," kata JAKS Resources lagi.


Dari segi risiko pula ujarnya, kumpulan itu memaklumkan projek berkenaan hanya terdedah kepada risiko operasi biasa, namun boleh dikurangkan melalui sistem kawalan pengurusan projek yang sedia ada.


Lembaga pengarah berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan, selain mengukuhkan lagi prospek perniagaan segmen infrastruktur air. - DagangNews.com