Jadikan Sungai Johor kawasan tadahan air kekal penting demi jamin bekalan air mampan - Ranhill SAJ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jadikan Sungai Johor kawasan tadahan air kekal penting demi jamin bekalan air mampan - Ranhill SAJ

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 6 Nov – Langkah menjadikan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal amat penting bagi memastikan bekalan air kepada hampir dua juta pengguna di negeri Johor kekal terjamin dan mampan untuk jangka panjang.

 


Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd, Anuar Abdul Ghani berkata, pengazetan itu akan menjadi benteng utama dalam melindungi sumber air negeri daripada risiko pencemaran serta memastikan kelangsungan operasi loji rawatan air di sepanjang sungai tersebut.

 


“Pengazetan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal akan menjadi langkah pencegahan paling berkesan dalam melindungi sumber air mentah negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Beliau berkata, insiden pencemaran air mentah baru-baru ini menunjukkan keperluan mendesak untuk melaksanakan langkah perlindungan menyeluruh terhadap kawasan tadahan utama negeri.

 


Pada 31 Oktober lalu, pencemaran yang dikesan di Sungai Johor menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa dihentikan operasi, menjejaskan hampir 300,000 akaun pengguna di beberapa daerah.

 


Menurut kerajaan negeri, punca kejadian dikenal pasti berpunca daripada kolam pencucian pasir yang pecah di tapak perlombongan pasir di Kota Tinggi.

 


Anuar menegaskan pengazetan kawasan tadahan kekal bukan sahaja akan mengawal pembangunan dan aktiviti industri di sekitar lembangan sungai, malah memastikan langkah pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 


“Isu pencemaran sungai bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi juga mengancam kesejahteraan rakyat serta mengekang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

 


Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat diperkukuh bagi memastikan sungai kekal bersih, selamat dan lestari.

 


Terdahulu, selain Sungai Johor, terdapat lapan lagi loji rawatan air beroperasi di kawasan lembangan Sungai Muar.

 


Dalam perkembangan pasaran, saham Ranhill Utilities Bhd iaitu syarikat induk kepada Ranhill SAJ,  menurun tiga sen atau 1.69% kepada RM1.75 ketika dagangan tengah hari Khamis, dengan nilai pasaran kumpulan sekitar RM2.27 bilion.  - DagangNews.com