ITMax dilantik sebagai pengendali parkir pintar MBJB selama 15 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMax dilantik sebagai pengendali parkir pintar MBJB selama 15 tahun

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 MacITMax System Bhd melalui anak syarikatnya, Southmax Sdn. Bhd., dilantik sebagai pengendali sistem parkir pintar bagi parkir tepi jalan di kawasan di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi tempoh kontrak 15 tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ITMax berkata Southmax, yang dimiliki 65% oleh kumpulan itu, telah menerima Surat Pelantikan (LOA) daripada MBJB pada 16 Mac 2026 selepas menerima tawaran tersebut pada 12 Mac 2026.

 

Kontrak berkenaan akan berkuat kuasa bermula 1 Mei 2026 hingga 30 April 2041.

 

Menurut ITMax, Southmax akan bertanggungjawab melaksanakan sistem parkir pintar termasuk aplikasi pembayaran dan tempahan Parkmax bagi parkir tepi jalan di kawasan pentadbiran MBJB.

 

Di bawah terma utama kontrak itu, hasil kutipan parkir akan dikongsi pada kadar 70% kepada Southmax dan 30% kepada MBJB.

 

Selain itu, Southmax juga dikehendaki menyediakan deposit keselamatan sebagai bayaran pendahuluan bagi imbuhan pegawai penguat kuasa yang dipinjamkan serta menanggung semua perbelanjaan berkaitan pengurusan dan penyediaan perjanjian kontrak dengan MBJB.

 

ITMax berkata Southmax dan MBJB akan memeterai perjanjian rasmi bagi pelaksanaan kontrak tersebut.

 

Menurut syarikat itu, risiko berkaitan pelantikan tersebut adalah risiko operasi biasa dan lembaga pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko signifikan yang boleh memberi kesan material kepada kedudukan kewangan kumpulan.

 

“LOA ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak,” katanya.

 

ITMax turut memaklumkan bahawa pelantikan tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

 

Pada masa sama, syarikat menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com