KUALA LUMPUR 16 Mac – ITMax System Bhd dijangka mencatatkan peningkatan pendapatan bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (Q1FY26), didorong oleh bil progresif bagi pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), pada tahap operasi stabil, pemasangan 5,000 unit CCTV itu berpotensi menjana kira-kira RM60 juta hasil tahunan serta RM24 juta keuntungan kepada syarikat.
Firma penyelidikan itu turut menjangkakan margin keuntungan syarikat akan bertambah baik secara berperingkat apabila kos pengaktifan sekali sahaja bagi sistem parkir pintar, yang dianggarkan melebihi RM2 juta pada suku keempat FY2025, mula kembali normal.
“Data awal daripada pihak pengurusan menunjukkan kadar penggunaan parkir SIP pada Januari dan Februari terus meningkat walaupun dalam tempoh musim perayaan, sekali gus menyokong sumbangan lebih kukuh daripada segmen parkir pintar,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagi prospek projek baharu menjelang 2027, HLIB menjangkakan wilayah Johor Raya akan menambah beberapa ribu unit CCTV susulan pemasangan kira-kira 1,500 unit di kawasan tersebut sebelum ini.
Pada masa sama, bank pelaburan itu menjangka ITMax akan mengambil alih operasi parkir pintar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memandangkan kontrak pengendali sedia ada dijangka tamat pada pertengahan tahun ini.
Selain itu, ITMax juga telah mula berunding dengan DBKL bagi fasa seterusnya pemasangan CCTV ketika bandar raya itu berusaha mencapai sasaran 20,000 unit CCTV menjelang 2028.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham ITMax dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.74 sesaham. - DagangNews.com








