ITMAX berpotensi teroka pasaran pemasangan CCTV di Sabah dan Sarawak, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ITMAX berpotensi teroka pasaran pemasangan CCTV di Sabah dan Sarawak, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - Selepas berjaya mengukuhkan kedudukan di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya ITMAX System Berhad akan meneroka pasaran pemasangan CCTV di Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, Datuk Bandar Kota Kinabalu baru-baru ini mendedahkan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menyasarkan pemasangan 1,500 CCTV dikuasakan kecerdasan buatan (AI) menjelang akhir 2025 bagi meningkatkan keselamatan di bandar itu.

 

"Berdasarkan rekod prestasi yang boleh dipercayai, kami berpendapat kumpulan itu mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan tender.

 

"Menjangkakan kemenangan kontrak selanjutnya pada separuh kedua, kami mengaitkan hasil yang lebih tinggi dalam FY26/FY27E, walaupun diimbangi oleh perbelanjaan operasi dan modal yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sebelum ini, ITMAX telah memperoleh dua kontrak bandar pintar tambahan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor.

 

Yang pertama, daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai adalah untuk pemasangan/naik taraf 450 CCTV di daerah ini dengan nilai kontrak keseluruhan RM26.6 juta dalam tempoh 8 tahun dan yang kedua daripada Majlis Daerah Mersing bagi penyediaan perkhidmatan parkir pintar - kontrak parkir pintar ketujuh yang dijamin di negeri ini.

 

Kontrak Majlis Daerah Mersing adalah untuk tempoh 15 tahun merangkumi 5,500 tempat letak kereta luar di daerah itu.

 

Maybank IB berkata, menjelang akhir FY25, ITMAX akan memasang atau menaik taraf lebih 1,000 CCTV di Pulau Pinang dengan tambahan 1,100 unit di seluruh pulau dan tanah besar yang akan dinaik taraf dalam masa terdekat.

 

Katanya, bagi tempat letak kereta pintar di Johor, kumpulan itu kini mempunyai 77,389 ruang letak kereta di bawah bidang kuasanya.

 

"ITMAX boleh mendapatkan 60,000 ruang letak kereta tambahan di JB pada lewat separuh kedua 2025 apabila kontrak vendor penyandang tamat tempoh. 

 

"Kami masih belum mengambil kira tempat letak kereta JB dalam ramalan kami," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.50 sesaham. - DagangNews.com