Isu SPRM goncang saham IJM, Kenanga kekal tolak tawaran RM11 bilion pengambilalihan oleh Sunway | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu SPRM goncang saham IJM, Kenanga kekal tolak tawaran RM11 bilion pengambilalihan oleh Sunway

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Jan - Kenanga Research mengekalkan saranan “Tolak” terhadap tawaran pengambilalihan bernilai RM11 bilion ke atas IJM Bhd oleh Sunway Bhd, walaupun jurang arbitraj melebar susulan kejatuhan harga saham IJM dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu akibat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Firma penyelidikan itu berkata Sunway telah mengulangi komitmennya untuk meneruskan cadangan pengambilalihan tersebut walaupun berdepan aliran berita negatif berkaitan IJM.

 

 

Namun dari sudut penilaian kata Kenanga, tawaran berkenaan masih tidak menarik kepada pemegang saham.

 

 

 

 

 

 

Dalam nota bertarikh 26 Januari, Kenanga Research menjelaskan kelemahan harga saham IJM kebelakangan ini telah melebar jurang arbitraj kepada sekitar 19% berbanding harga tawaran RM3.15 sesaham, lebih tinggi berbanding ketika tawaran itu mula diumumkan.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menegaskan saranan “Tolak” kekal tidak berubah kerana penilaian tersirat tawaran tersebut masih berada di bawah nilai intrinsik IJM.

 

Firma itu turut mengekalkan harga sasaran saham IJM pada RM3.40, yang menurutnya menawarkan potensi pulangan lebih baik kepada pemegang saham sekiranya mereka terus mengekalkan pegangan dalam syarikat tersebut.

 

Pada jam 9.50 pagi, saham IJM meningkat 7 sen kepada RM2.71, namun masih diniagakan pada diskaun sekitar 29% berbanding harga sasaran Kenanga Research.


 

IJM

 


Mengimbas perkembangan terkini, Kenanga Research berkata saham IJM mengalami turun naik ketara minggu lalu susulan pengumuman cadangan pengambilalihan oleh Sunway, yang berlaku seiring dengan beberapa laporan berita negatif berkaitan siasatan pihak berkuasa.

 

IJM sebelum ini mengesahkan pegawai SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah mengunjungi pejabatnya bagi mendapatkan maklumat berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

 

Kumpulan itu turut memaklumkan bahawa pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai SPRM dan sekurang-kurangnya 10 akaun bank telah dikenakan sekatan sementara bagi memudahkan proses siasatan.

 

IJM menegaskan, langkah-langkah tersebut tidak menjejaskan operasi harian kumpulan. Secara berasingan, SPRM mengesahkan kerjasamanya dengan Serious Fraud Office dalam menyiasat dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan IJM.

 

Menurut Kenanga Research, tekanan jualan susulan isu berkaitan SPRM telah menyumbang kepada pelebaran jurang arbitraj berbanding harga tawaran, namun pada masa yang sama membuka ruang kepada pelabur jangka panjang untuk menilai semula potensi nilai saham IJM berdasarkan asas perniagaan syarikat.

 

 

 

 

 

 

Dari segi prospek, laporan itu menyatakan IJM menyasarkan penambahan buku pesanan bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion bagi tahun kewangan 2026. Sasaran tersebut disokong oleh beberapa peluang projek berskala besar, termasuk tiga projek pusat data, dua projek industri serta projek perumahan penjawat awam Nusantara bernilai RM1 bilion.

 

Kenanga Research berkata kekuatan buku pesanan dan pendedahan IJM kepada segmen infrastruktur strategik kekal menjadi faktor sokongan utama kepada prospek jangka sederhana hingga panjang kumpulan itu, meskipun sentimen pasaran jangka pendek terus dipengaruhi oleh perkembangan siasatan semasa. - DagangNews.com