Isu rumah tidak terjual semakin membimbangkan sektor hartanah, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu rumah tidak terjual semakin membimbangkan sektor hartanah, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mac — Lebihan unit perumahan tidak terjual yang terus meningkat dilihat sebagai isu kritikal yang boleh mengekang momentum sektor hartanah negara, menurut MBSB Research.


Tambah firma penyelidikan itu, minat pembelian namun kekal kukuh dan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan permohonan pinjaman bagi hartanah mencecah RM53 bilion pada Januari 2026.


Keadaan tersebut jelasnya, adalah meningkat kira-kira 17.7% tahun ke tahun (YoY), sekali gus mencatatkan kenaikan tahunan bagi tempoh bulan yang keenam berturut-turut sejak Ogos 2025.


"Pertumbuhan dua digit ini sebahagiannya dipacu oleh asas yang rendah, selain pemulihan permohonan selepas musim cuti hujung tahun pada Disember 2025," kata MBSB Research dalam notanya hari ini. 


Secara bulanan (MoM) pula tambah firma berkenaan, permohonan pinjaman didapati meningkat sebanyak 5.4% berbanding penurunan kira-kira 9% yang dicatatkan sektor tersebut pada Disember tahun lalu.


Bagaimanapun, ia menjangkakan permohonan pinjaman mungkin lemah pada Februari 2026 berikutan musim perayaan, walaupun minat pembelian hartanah dijangka terus berkembang secara sederhana tahun ini.


Dari segi kelulusan pinjaman ujar MBSB Research, jumlah pinjaman dilulus bagi pembelian hartanah naik kepada RM22.2 bilion pada Januari 2026, iaitu 17.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


"Kadar kelulusan pinjaman namun menurun kepada 41.9% daripada 46.3% pada Disember 2025, dan bukan janggal kerana ia lazimnya kembali normal selepas paras lebih tinggi pada Disember," katanya.


Kebanyakan syarikat hartanah mencatat pertumbuhan pendapatan pada suku keempat tahun kewangan 2025, kecuali Mah Sing Group Berhad dan UOA Development Bhd merekodkan prestasi sedikit lemah.


MBSB Research berkata, hasil IOI Properties Group Berhad melonjak 50.6% YoY berikutan sumbangan operasi di Singapura selepas pengambilalihan baki ekuiti dalam Scottsdale Properties Pte Ltd.
 

rumah


Sementara itu jelas firma penyelidikan tersebut, SP Setia Berhad pula dinilai mencatat peningkatan pendapatan yang besar sebanyak 360% susulan pengiktirafan jualan tanah dengan margin tinggi.


"Bagi jualan hartanah baharu, Sunway Berhad berjaya melepasi sasaran jualan, manakala Mah Sing sedikit ketinggalan berikutan kelewatan kelulusan pihak berkuasa bagi beberapa projek," katanya.


Secara keseluruhan, kebanyakan pemaju menetapkan sasaran jualan baharu yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2026, mencerminkan keyakinan terhadap prospek permintaan hartanah yang stabil.


Sebaliknya kata MBSB Research, data kerajaan menunjukkan lebihan unit kediaman siap tetapi tidak terjual naik bagi lima suku berturut-turut kepada 30,471 unit direkodkan pada suku keempat 2025.


Lima negeri tambah firma berkenaan, mencatat lebihan tertinggi ialah Perak (3,943 unit), Johor (3,705 unit), Selangor (3,547 unit), Pulau Pinang (2,775 unit) dan Negeri Sembilan (2,647 unit).


"Kira-kira 65% daripada unit tersebut berharga di bawah RM500,000, manakala lebihan unit apartmen servis turut meningkat kepada 18,752 unit berbanding 17,892 unit pada suku sebelumnya," katanya.


Situasi itu jelas MBSB Research, menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan yang boleh menekan harga hartanah, ditambah isu kenaikan harga minyak global akibat konflik di Timur Tengah.


Ia dijangka memberi kesan kepada sektor hartanah kerana kos sara hidup dan kos pengangkutan yang lebih tinggi boleh mengurangkan tahap kemampuan pembeli serta meningkatkan kos pembinaan pemaju.


Walaupun berdepan cabaran tersebut, firma itu mengekalkan penarafan 'positif' terhadap sektor ini, disokong oleh prospek permintaan yang stabil serta pemangkin pelbagai projek di sekitar Johor.


"Kami mengekalkan Mah Sing dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.49, serta Matrix Concepts Holdings Berhad (beli, TP RM1.66) sebagai pilihan utama sektor," kata MBSB Research.


Kedua-dua syarikat tersebut jelasnya, dinilai memiliki prospek kukuh segmen rumah mampu milik serta pertumbuhan berterusan projek pembangunan utama masing-masing. - DagangNews.com