Isu Petronas-Petros: Dakwaan 'Sarawak angkuh' tidak berasas, kata Peguam Negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu Petronas-Petros: Dakwaan 'Sarawak angkuh' tidak berasas, kata Peguam Negeri

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Feb - Dakwaan palsu yang menyatakan Sarawak 'sombong' atau berhasrat untuk menjadi 'negeri yang berkuasa sendiri', boleh menjejaskan keharmonian dan perkembangan negara Malaysia secara keseluruhan.

 

Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato Seri JC Fong berkata, beliau turut menolak dakwaan bahawa Sarawak berniat untuk merosakkan Petronas, dengan menyatakan bahawa maklumat palsu sedemikian hanya menimbulkan keraguan dan menghalang kemakmuran Malaysia dan Sarawak.

 

"Dakwaan palsu ini akan menyebabkan rasa kecewa, marah dan mengakibatkan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap rakyat Malaysia yang lain.

 

 

"Rakyat Sarawak mencintai Malaysia seperti mana mereka mencintai negeri mereka. Mereka ingin membantu membina Malaysia yang makmur, harmoni, aman dan bersatu," kata bekas Peguam Negara Sarawak itu dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, Fong menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menghormati dan mempertahankan hak istimewa serta status Sarawak dalam Malaysia, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

 

Dato Sri JC Fong. Gambar/Facebook
Dato Sri JC Fong

 

"Dengan itu, kita akan memiliki Malaysia yang makmur dan rakyatnya bersatu serta bahagia," katanya.

 

Fong juga berkongsi pandangan sebagai 'Anak Sarawak' sebagai respons kepada pembentangan pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pada forum di Subang Jaya, baru-baru ini.

 

Beliau mengakui, masalah yang dihadapi Sarawak adalah wajar dan perlu diberi perhatian dan segala usaha untuk menyelesaikannya harus dilakukan dengan ikhlas agar perpaduan dalam negara dapat dikekalkan.

 

Jelasnya, dengan keharmonian kaum yang kukuh, kestabilan politik dan strategi pembangunan yang progresif, Sarawak berada di landasan untuk menjadi lebih makmur.

 

"Sarawak yang makmur akan menyediakan asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang makmur. Untuk membolehkan Sarawak dan Malaysia berkembang, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya sumber minyak dan gas kita untuk membangunkan negara.

 

"Eksport 94 peratus gas yang dihasilkan di Sarawak ke Jepun dan Korea dalam bentuk gas asli cecair (LNG) adalah penggunaan sumber yang tidak mampan kerana ia semakin berkurangan dan ini menghalang industri serta pelabur kita daripada menggunakan gas tersebut untuk menyokong pertumbuhan mereka," tambahnya.

 

Sehubungan itu Fong berkata, langkah menyimpan lebih banyak gas asli untuk kegunaan tempatan akan memudahkan pelaksanaan Pelan Jalan Gas Sarawak.

 

Jelas beliau, Sarawak ingin membantu Semenanjung Malaysia menggunakan sumber minyak dan gas yang ada di Sarawak dengan lebih baik, berbanding mengeksport gas asli cecair (LNG) ke Jepun dan Korea untuk memberi manfaat dan mengembangkan industri di negara-negara tersebut.

 

"Kami mahu Petronas mengubah model perniagaannya untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam membina Malaysia yang makmur dan dinamik,” katanya.

 

Beliau juga menegaskan, Sarawak bersetuju membentuk Malaysia pada tahun 1963 dengan harapan untuk pembangunan dan kemajuan.

 

"Hasrat rakyat Sarawak tidak dapat direalisasikan jika Kerajaan Persekutuan tidak menghormati MA63 dalam isu-isu seperti menyediakan hasil yang mencukupi seperti yang dipersetujui atau mengambil hak negeri terhadap harta dan aset seperti petroleum, yang akhirnya menghalang kemajuan ekonomi dan pembangunan Sarawak," tegasnya. - DagangNews.com