ISF Group fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi tujuan pengembangan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ISF Group fail permohonan IPO di Pasaran ACE bagi tujuan pengembangan operasi

Kredit gambar FACEBOOK/ISF GROUP
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Julai – ISF Group Bhd memfailkan permohonan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai rancangan pengembangan operasi. 

 

Syarikat merancang membina ibu pejabat baharu di Johor, menaik taraf kemudahan operasi, membeli jentera dan peralatan, serta mengambil puluhan kakitangan baharu.

 

ISF turut merancang membuka pejabat di Selangor atau Negeri Sembilan, serta satu lagi di Pulau Pinang bagi menyokong pelaksanaan projek di wilayah tengah dan utara Semenanjung Malaysia.

 

ISF Group ditubuhkan pada akhir tahun 2000 oleh Ai Sew Fuat dan isterinya Lim Ay Yum, yang masing-masing kini berperanan sebagai Pengarah Eksekutif Projek dan Kewangan/Operasi. 

 

Anak mereka, Ai Boon Chen, merupakan Pengarah Urusan, bertanggungjawab ke atas pembangunan korporat, perniagaan dan perancangan strategik.

 

Tahun lalu, ISF Group mencatat untung bersih RM9.64 juta dengan hasil sebanyak RM54.67 juta. 

 

Lebih 40% daripada hasilnya disumbang oleh kerja di tapak industri, diikuti pusat data dan hartanah kediaman masing-masing sekitar 20%, manakala selebihnya daripada hartanah komersial dan infrastruktur awam.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam 185.3 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 90 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan.

 

Daripada jumlah itu, 50 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 15 juta saham kepada yang layak, dan selebihnya diagihkan kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan persendirian.

 

Sementara itu, Sew Fuat, isterinya dan anak mereka akan menawarkan keseluruhan 90 juta saham sedia ada mereka untuk jualan, yang akan mengurangkan pegangan kolektif keluarga kepada 72% selepas penyenaraian.

 

Alliance Islamic Bank bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com