IPO Geohan catat lebihan langganan 7.78 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Geohan catat lebihan langganan 7.78 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Dari kiri: Alex Chew Hong Hooi, Pengarah Share Registrar Service Asia, Boardroom Share Registrars Sdn Bhd; Jonathan Lim Chong Meng, Pengarah Urusan Asia, Share Registrar Service Asia, Boardroom Share Registrars Sdn Bhd; Ir. Oh Chin Wah, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Geohan dan Lee Jie Min juga Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Geohan.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov – Tawaran Awam Permulaan (IPO) Geohan Corporation Berhad mencatat sambutan kukuh daripada pelabur, apabila bahagian tawaran kepada orang ramai terlebih langgan sebanyak 7.78 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Malaysian Issuing House Sdn Bhd (MIH) dalam kenyataannya berkata, sejumlah 5,392 permohonan bagi 193.24 juta saham baharu diterima daripada orang ramai, berbanding 22 juta saham yang diperuntukkan bagi kategori tersebut.

 

Daripada jumlah itu, bahagian Bumiputera menerima 3,028 permohonan melibatkan 95.23 juta saham, bersamaan lebihan langganan 7.66 kali.

 

Sementara itu, kategori awam bukan Bumiputera menarik 2,364 permohonan melibatkan 98.01 juta saham, menjadikan lebihan langganan 7.91 kali.

 

IPO Geohan merangkumi:

  1. 22 juta saham baharu untuk permohonan oleh orang ramai;

  2. 11 juta saham baharu untuk pengarah, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Geohan;

  3. 55 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI; dan

  4. 44 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

MIH turut mengesahkan sebanyak 11 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan serta individu berkaitan telah dilanggani sepenuhnya.

 

Alliance Islamic Bank Berhad selaku Penasihat Utama, Pengunderai Tunggal dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan memaklumkan bahawa kedua-dua bahagian penempatan persendirian — 55 juta saham Bumiputera MITI serta 44 juta saham institusi dan pelabur terpilih — juga telah berjaya ditempatkan sepenuhnya.

 

IPO Geohan ditawarkan pada harga RM0.55 sesaham, dibayar penuh semasa permohonan.

 

Notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon berjaya pada atau sebelum 4 Disember 2025- DagangNews.com