KUALA LUMPUR 8 April – MM Computer Systems Berhad (MMCS) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Malacca Securities dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan Saham, manakala SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Kewangan Korporat bagi urusan IPO ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MMCS, Young Yoong Chang berkata perjanjian ini adalah satu langkah penting dalam perjalanan penyenaraian syarikat yang menunjukkan syarikat bergerak dari fasa persediaan ke fasa pelaksanaan IPO.
IPO yang dicadangkan melibatkan penerbitan 119 juta saham baru, mewakili kira-kira 21 peratus daripada jumlah modal saham syarikat selepas IPO. Selain itu, terdapat 47.34 juta saham sedia ada yang akan dijual, bersamaan dengan 8 peratus daripada jumlah modal saham selepas IPO.
Daripada 119 juta saham baru, 28.35 juta saham diperuntukkan untuk orang awam di Malaysia manakala 28.35 juta lagi disediakan untuk pengarah, pekerja dan penyumbang kepada kejayaan syarikat.
Sebanyak 38.77 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih, manakala 23.53 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI).
Bagi 47.34 juta saham sedia ada yang dijual, kesemuanya akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera MITI. Hasil daripada penjualan saham ini akan diberikan kepada pemegang saham sedia ada, iaitu Young Yoong Chang, Lee Choon Weng dan Quah Soo Keat.
Dana yang dikumpul daripada penerbitan saham baru dijangka digunakan untuk membeli perkakasan dan perisian IT, memperluas tenaga kerja dan membangunkan keupayaan syarikat, membayar balik pinjaman bank serta menampung kos penyenaraian di Bursa Malaysia.
MMCS melalui subsidiari penuhnya, Micro Technology Solution Sdn Bhd dan SMIND Sdn Bhd, telah membina reputasi kukuh dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur IT, rangkaian dan keselamatan siber serta perkhidmatan outsourcing IT.
Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kepada syarikat berkaitan kerajaan, syarikat besar dan korporat di seluruh Malaysia. Ia juga bekerjasama dengan pelbagai jenama teknologi terkenal seperti Dell, IBM, Hewlett Packard Enterprise, Trend Micro, Sangfor dan Ruijie bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Dengan pengalaman lebih 22 tahun dalam industri, MMCS kini bersedia untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran melalui penyenaraian di Bursa Malaysia, sekali gus memberi peluang pelaburan kepada orang ramai dan pelabur Bumiputera. - DagangNews.com








