IPI melonjak 6% pada Oktober 2025 disokong sektor pembuatan, eksport - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPI melonjak 6% pada Oktober 2025 disokong sektor pembuatan, eksport - DOSM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Dis – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat 6.0% tahun ke tahun (YoY)  pada Oktober 2025, meneruskan momentum positif merentasi semua sektor utama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan pada bulan itu mengatasi kenaikan 5.7% yang dicatatkan pada September 2025, sekali gus menandakan pengukuhan aktiviti industri domestik.

 

“Pertumbuhan dikuasai sektor pembuatan yang meningkat 6.5% berbanding 5.0% pada bulan sebelumnya, diikuti pertambahan 5.8% dalam sektor perlombongan (September: 10.2%).

 

“Sektor elektrik turut berkembang sebanyak 1.2%,” katanya dalam Laporan IPI Oktober.

 

DOSM turut melaporkan IPI keseluruhan naik kepada 2.1% secara bulanan, mengatasi penurunan kecil -0.02% yang direkodkan pada September.

 

Momentum sektor pembuatan pada Oktober dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam industri berorientasikan eksport, yang melonjak 7.2% berbanding 4.8% pada September.

 

Pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, elektronik dan produk optik yang meningkat sebanyak 14.2%, serta pembuatan minyak dan lelemak sayuran dan haiwan yang melonjak 12.9%.

 

Menurut Mohd Uzir, pencapaian tersebut seiring dengan pertumbuhan 9.2% eksport barangan perkilangan negara pada Oktober.

 

“Industri berorientasikan eksport naik 0.9%, mengatasi 0.8% pada September,” jelas beliau.

 

Sementara itu, industri berorientasikan domestik mencatat pertumbuhan sederhana 4.9% berbanding 5.3% bulan sebelumnya, dipacu pembuatan produk pemprosesan makanan (8.7%) serta produk logam terfabrikasi, kecuali mesin dan peralatan (7.1%).

 

Dalam kalangan negara lain, IPI mencatatkan pertumbuhan ketara di Singapura sebanyak 29.1% dan di Vietnam sebanyak 10.9%.

 

China (4.9%), Jepun (1.5%) dan Taiwan (14.5%) pula merekodkan pertumbuhan lebih perlahan. Thailand (-0.1%) dan Korea Selatan (-8.1%) menjadi satu-satunya negara yang mengalami penurunan pada Oktober.

 

Bagi tempoh Januari–Oktober 2025, IPI berkembang 3.4%, sedikit rendah berbanding 3.7% pada tahun lalu, disokong oleh indeks pembuatan sebanyak 4.3%, perlombongan 0.8% dan elektrik 0.2%. - DagangNews.com