Inta Bina raih kontrak RM32.4 juta pembangunan komersial di Eco Ardence | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inta Bina raih kontrak RM32.4 juta pembangunan komersial di Eco Ardence

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 April - Inta Bina Group Berhad dilantik sebagai kontraktor utama bagi pembangunan komersial bercampur di Eco Ardence, Setia Alam dengan nilai kontrak sebanyak RM32.4 juta.

 

Kontrak berasaskan reka dan bina itu dianugerahkan oleh Eco Ardence Sdn Bhd, sekali gus mencerminkan keupayaan berterusan kumpulan dalam memperoleh projek pembinaan komersial di tengah permintaan yang stabil di Lembah Klang.

 

Pembangunan tersebut merangkumi dua blok utama, iaitu Blok 1 setinggi dua tingkat yang akan menempatkan 22 unit kedai kos rendah serta sebuah dewan serbaguna.

 

Blok 2 pula melibatkan bangunan lima tingkat yang terdiri daripada 14 unit runcit di aras bawah, ruang pejabat di tiga tingkat seterusnya serta sebuah dewan di tingkat atas.

 

Skop kerja turut melibatkan pembinaan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta kerja-kerja awam, struktur dan mekanikal serta elektrikal (M&E) di bawah satu kontrak bersepadu.

 

Menurut Inta Bina, pasaran hartanah komersial di Lembah Klang kekal aktif, didorong pertumbuhan populasi dan aktiviti perniagaan yang menyokong permintaan berterusan terhadap ruang runcit dan pejabat di kawasan perbandaran matang.

 

“Pendekatan reka dan bina yang bersepadu membolehkan pelaksanaan projek yang lebih efisien dari segi kos serta penjajaran keperluan projek,” katanya.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang kepada hasil dan pendapatan kumpulan secara berperingkat sepanjang tempoh pembinaan selama 18 bulan.

 

Dengan tambahan projek ini, buku tempahan Inta Bina meningkat sebanyak RM32.4 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh dalam tempoh terdekat.

 

Kumpulan itu berkata, ia akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek semasa sambil menilai peluang baharu secara selektif bagi mengekalkan momentum pertumbuhan. - DagangNews.com