Inta Bina berpotensi tambah projek Johor, disokong pembangunan EcoWorld dan UEM Sunrise - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inta Bina berpotensi tambah projek Johor, disokong pembangunan EcoWorld dan UEM Sunrise - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei – Inta Bina Group Bhd dijangka memperoleh lebih banyak projek baharu di Johor, susulan penglibatan pelanggan jangka panjangnya seperti EcoWorld dan UEM Sunrise yang sedang giat melaksanakan pembangunan di negeri tersebut,” kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata sebelum ini, Inta Bina telah pun mencatat rekod memperoleh lebih daripada RM200 juta nilai projek di Johor. 

 

“Pengukuhan di Johor akan menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula saham syarikat, khususnya susulan perkembangan pesat pembangunan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Keuntungan teras suku pertama FY2026 Inta Bina meningkat 9.6% tahun ke tahun kepada RM10.7 juta, sejajar dengan jangkaan pasaran dan menyumbang sekitar 25% daripada unjuran tahun penuh.

 

Pendapatan syarikat turut berkembang sekitar 10% didorong kemajuan kerja projek sedia ada, namun margin keuntungan terkesan akibat peningkatan kos operasi dan pembinaan yang lebih tinggi.

 

Margin keuntungan segmen pembinaan susut kepada 3.9% pada 1QFY2026 berbanding 4.4% pada 4QFY2025, mencerminkan tekanan kos bahan binaan serta kos tenaga kerja dalam industri.

 

Sementara itu, segmen hartanah mencatatkan penurunan keuntungan kepada RM2.5 juta berbanding RM3.1 juta sebelum ini, berikutan projek Senuri Residence memasuki fasa akhir pembangunan, menyebabkan pengiktirafan pendapatan progresif lebih rendah.

 

Dari segi kedudukan kewangan, RHB Research berkata Inta Bina mempunyai buku tempahan sebanyak RM1.5 bilion dengan nisbah perlindungan sekitar 2.3 kali berdasarkan hasil pembinaan tahun kewangan sebelumnya.

 

“Syarikat juga memiliki buku tender bernilai sekitar RM3.3 bilion, yang memberikan ruang kepada potensi pertumbuhan kontrak baharu dalam tempoh akan datang, walaupun hanya RM81 juta kontrak baharu berjaya diperoleh setakat tahun kewangan semasa.

 

“Namun, kami telah menyemak turun unjuran pendapatan FY2026 hingga FY2028 sebanyak 5% hingga 8% selepas mengambil kira andaian kadar perolehan projek baharu yang lebih konservatif, iaitu RM800 juta bagi FY2026 dan RM850 juta bagi FY2027.

 

“Sejajar dengan semakan tersebut, harga sasaran turut diturunkan kepada RM0.67 berbanding RM0.72 sebelum ini, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (price-to-earnings ratio, P/E) sebanyak 11 kali bagi FY2027,” katanya.

 

Walaupun begitu, saham Inta Bina masih didagangkan pada penilaian sekitar 5.1 kali P/E FY2027, jauh lebih rendah berbanding purata lima tahun sektor pembinaan Bursa Malaysia sekitar 14 kali, yang dilihat tidak mencerminkan kekuatan asas syarikat.

 

Risiko utama kepada prospek syarikat pula adalah kelembapan dalam penambahan kontrak baharu yang boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan.- DagangNews.com