Insights Analytics jalin kerjasama dengan 51 WORLD dari China perteguh platform teknologi AI digital twin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insights Analytics jalin kerjasama dengan 51 WORLD dari China perteguh platform teknologi AI digital twin

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 FebInsights Analytics Berhad menjalin kerjasama dengan syarikat tersenarai di Bursa Saham Hong Kong, Beijing 51 WORLD Digital Twin Technology Co Ltd berpangkalan di China.


Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, usaha kerjasama strategik itu akan memberi fokus kepada pembangunan pasaran produk digital twin yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Menerusi memorandum persefahaman (MoU) dimeterai pada 9 Februari 2026, ia bertujuan memperkukuh keupayaan kumpulan melalui penggunaan rumusan industri bertaraf tinggi yang dibangunkan 51 WORLD.


"Ia merupakan syarikat teknologi AI fizikal dan digital twin yang memfokuskan simulasi dunia sebenar serta pemodelan sistem pintar, dan dikenali sebagai antara perintis bidang itu," jelas Insights Analytics.


Menurutnya, kumpulan tersebut akan mengguna pakai teknologi AI dan digital twin 51 WORLD untuk membangunkan serta melaksanakan beberapa aplikasi inovatif yang merentas pelbagai jenis industri.


Langkah ini dijangka meningkatkan kebolehskalaan, kedalaman dan daya saing platform teknologi, selari dengan peralihan strategik kumpulan itu ke arah penyelesaian rumusan bernilai tinggi.


Sehubungan itu, Insights Analytics akan menggantikan sebahagian aplikasi perisian sedia ada, di samping terus menyokong pelanggan semasa dengan keupayaan teknologi moden yang dipertingkatkan.


"MoU dengan 51 WORLD tersebut akan kekal berkuat kuasa sehingga digantikan dengan perjanjian yang bersifat muktamad atau ditamatkan terus secara bersama oleh kedua-dua pihak," kata kumpulan itu.


Bagaimanapun, ia menjelaskan kerjasama ini tidak dijangka memberi kesan kewangan material serta-merta ke atas pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan syarikat bagi tahun kewangan semasa.


Selain itu, pihak Lembaga Pengarah Insights Analytics berpandangan yang pemeteraian MoU itu selaras dengan strategi pertumbuhan kumpulan tersebut dan adalah demi kepentingan terbaik syarikat. 


Tiada penglibatan kepentingan oleh pengarah atau pemegang saham utamanya dalam kerjasama tersebut, dan ia juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia.


"Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan dalam ekosistem teknologi AI dan digital twin, sejajar peningkatan permintaan rumusan simulasi pintar," katanya. - DagangNews.com