Insentif SuRIA pemangkin baharu pemasangan solar rumah, buka peluang kerja EPCC hingga RM1 bilion - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insentif SuRIA pemangkin baharu pemasangan solar rumah, buka peluang kerja EPCC hingga RM1 bilion - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Inisiatif Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home yang diperkenalkan kerajaan dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan pemasangan solar kediaman, sekali gus membuka peluang kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sehingga RM1 bilion, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, program SuRIA yang menawarkan rebat RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar dengan jumlah peruntukan RM150 juta berpotensi menyokong sehingga 250MWac kapasiti solar kediaman baharu.

 

Menurutnya, skim itu mampu mempercepatkan penggunaan solar bumbung kediaman meskipun kadar rebatnya lebih rendah berbanding Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) sebelum ini yang menawarkan RM1,000 bagi setiap kWac dengan had maksimum RM4,000.

 

“Inisiatif ini diperkenalkan pada masa yang tepat ketika pengguna berdepan peningkatan kos elektrik grid susulan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Iran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Berdasarkan unjuran terkini Tenaga Nasional Berhad setakat 30 April 2026, kadar Automatic Fuel Adjustment (AFA) dijangka berubah daripada rebat -0.47 sen/kWh pada April kepada surcaj +1.38 sen/kWh pada Mei dan +2.92 sen/kWh pada Jun 2026.

 

Ini berbanding rebat sehingga -4.99 sen/kWh yang dinikmati pengguna pada awal tahun ini.

 

Bagaimanapun, mekanisme AFA hanya terpakai kepada isi rumah dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWh sebulan.

 

Dari sudut industri, potensi pemasangan solar kediaman sebanyak 250MWac di bawah SuRIA dijangka diterjemahkan kepada prospek kerja EPCC bernilai antara RM875 juta hingga RM1 bilion.

 

Firma seperti Northern Solar Holdings Berhad dan Verdant Solar dijangka menjadi antara penerima manfaat utama memandangkan pendedahan besar mereka kepada segmen solar bumbung.

 

Selain itu, Samaiden Group Berhad, Sunview Group Berhad, Solarvest Holdings Berhad dan Pekat Group Berhad turut dijangka menerima impak positif, walaupun pada skala lebih kecil kerana buku tempahan masing-masing lebih banyak dipacu projek solar berskala utiliti.

 

Oleh itu TA Securities mengekalkan pandangan “OVERWEIGHT” terhadap sektor utiliti berdasarkan beberapa faktor termasuk ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran penjanaan kuasa, pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahap rekod serta pengembangan perbelanjaan modal (capex) grid.

 

Antara saham pilihan utama sektor ialah Tenaga Nasional Berhad dengan harga sasaran RM18.00, Samaiden Group Berhad (RM1.96), Malakoff Corporation Berhad (RM1.29) dan Ranhill Utilities Berhad (RM2.71).

 

Menurut TA Securities, Malakoff Corporation Berhad berada pada kedudukan strategik untuk penggantian kapasiti penjanaan menerusi tender NewGen26 Suruhanjaya Tenaga, manakala Ranhill Utilities Berhad dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan pusat data dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Bagaimanapun, risiko utama sektor termasuk perubahan dasar yang tidak memihak kepada tenaga boleh diperbaharui, kelewatan pelaksanaan projek, peningkatan kos rantaian bekalan dan gangguan operasi loji yang tidak dirancang. - DagangNews.com