Inisiatif Droneport-1000 pacu potensi ekonomi udara dan buka peluang baharu teknologi dron di Sabak Bernam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif Droneport-1000 pacu potensi ekonomi udara dan buka peluang baharu teknologi dron di Sabak Bernam

Foto kredit Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Ogos — Sabak Bernam bakal muncul sebagai antara kawasan yang meneroka potensi ekonomi udara altitud rendah apabila inisiatif Droneport-1000 diperkenalkan bagi menyokong pembangunan teknologi dron, sistem pesawat tanpa pemandu dan mobiliti udara generasi baharu.

 

Inisiatif itu dilancarkan oleh Selangor Aviation Technology and Innovation (SELATI) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) baru-baru ini, sekali gus membuka platform baharu untuk penyelidikan, ujian dan penilaian teknologi penerbangan tanpa pemandu di Malaysia.

 

Droneport-1000 dicadangkan sebagai kemudahan ujian dan penilaian yang akan menyokong pembangunan sistem pesawat tanpa pemandu, Advanced Air Mobility serta teknologi dron generasi seterusnya secara selamat dan bertanggungjawab.

 

Menurut kenyataan bersama SELATI dan UNISEL, kemudahan itu bakal menghimpunkan kerajaan, institusi akademik dan pemain industri dengan tumpuan kepada penyelidikan, pengujian, pembangunan bakat serta pengkomersialan teknologi penerbangan tanpa pemandu.

 

"Inisiatif ini turut menyokong pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA) yang merupakan program pembangunan wilayah utama di bawah Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan diteruskan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2)," katanya.

 

Teknologi dron dijangka mempunyai aplikasi luas di Sabak Bernam termasuk pertanian tepat, pemantauan tanaman, logistik, pemeriksaan infrastruktur, tindak balas kecemasan serta pemuliharaan biodiversiti, sekali gus berpotensi meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.

 

Droneport_DagangNews2026

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam dan Kebudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, Droneport-1000 mencerminkan komitmen kerajaan negeri membangunkan ekosistem diperlukan bagi ekonomi udara altitud rendah dengan menyediakan infrastruktur, teknologi digital dan bakat untuk pertumbuhan industri secara mampan.

 

Ketua Zon Pembangunan Ekonomi SABDA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SELATI, Zannifa Azura Ahmad pula menyifatkan Droneport-1000 berpotensi menjadi pemangkin perubahan bagi Sabak Bernam kerana aplikasinya merentasi sektor pertanian, perikanan, logistik, pelancongan, pemuliharaan dan perkhidmatan awam.

 

"SABDA kini merangka 18 inisiatif strategik yang merangkumi pertanian pintar, perikanan, logistik bersepadu, ekopelancongan, agropelancongan, penyelidikan dan inovasi bagi mentransformasikan Sabak Bernam sebagai koridor ekonomi bersepadu berteraskan daya tahan, sekuriti makanan serta pembangunan diterajui komuniti," katanya.

 

Antara projek pemangkin termasuk Zon Perindustrian Perikanan Sungai Lang seluas 600 ekar, Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan, ekopelancongan Ban Canal serta cadangan Rizab Biosfera Anjung Utara Selangor di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO yang meliputi kira-kira 297,661 hektar.

 

Dengan keluasan kira-kira 48,216 hektar tanah pertanian, Sabak Bernam kekal sebagai antara kawasan penting pengeluaran makanan Selangor. Ketibaan pelancong turut meningkat 74% antara 2024 dan 2025, manakala pendaratan hasil perikanan marin melonjak lebih 42%. 

 

Gabungan Droneport-1000 dan SABDA dijangka menarik pelaburan, memperkukuh sekuriti makanan, melindungi aset semula jadi serta membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat Sabak Bernam. - DagangNews.com