Inflasi Malaysia 1.2% pada Mei 2025, terendah dalam tempoh 51 bulan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi Malaysia 1.2% pada Mei 2025, terendah dalam tempoh 51 bulan - DOSM

KUALA LUMPUR 24 Jun - Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2% pada Mei 2025, terendah dalam tempoh 51 bulan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 134.4 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Katanya, trend inflasi rendah oleh Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka adalah selari dengan inflasi bagi negara terpilih seperti Eropah (1.9%), Korea Selatan (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%) selaras dengan penurunan harga minyak global.

 

“Penurunan ini turut ditunjukkan melalui Indeks Harga Pengeluar yang mencatatkan penurunan 3.4% pada April 2025,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Sektor perlombongan merupakan penyumbang utama kepada penurunan ini iaitu -17.8% (Mac 2025: -15%) disebabkan penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah sebanyak -19.8%, katanya.

 

Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat perlahan 2.1% pada Mei 2025 berbanding 2.3% pada April 2025.

 

dosm

 

“Ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5%,” katanya.

 

Bagaimanapun, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi iaitu 4.4% berbanding 4.3% pada bulan sebelumnya.

 

Sementara itu, DOSM berkata, terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding April 2025 iaitu restoran dan perkhidmatan penginapan, 3% (April 2025: 2.9%), kesihatan, 1.1% (April 2025: 0.9%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.2% (April 2025: 0.1%).

 

Maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu -5.2% dan -0.2%.

 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 342 daripada 573 atau 59.7% item merekodkan kenaikan harga.

 

Beliau berkata, daripada 342 item, 330 item (96.5%) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10% manakala 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10% pada Mei 2025.

 

“Bagaimanapun, 180 item (31.4%) menunjukkan penurunan dan 51 item kekal tidak berubah, dan sedikit sebanyak mengekang inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi,” katanya.

 

Seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia, harga bahan api diesel pada Mei 2025 mencatatkan peningkatan perlahan 12.4% berbanding 15% pada April 2025.

 

Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.81 seliter berbanding RM2.15 seliter pada Mei 2024 (April 2025 RM2.95) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

 

Sementara itu, petrol tanpa plumbum RON97 masih kekal pada jajaran negatif iaitu 10.4% berbanding -6.3% pada April 2025. Purata harga petrol RON97 pada Mei 2025 ialah RM3.11 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Mei 2024 (April 2025 RM3.25).

 

Mohd Uzir berkata, 11 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.2%, dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.3% pada Mei 2025.

 

Lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (1.8%), Negeri Sembilan (1.6%), Selangor (1.5%), Melaka (1.5%) dan Kuala Lumpur (1.4%). - DagangNews.com