Inflasi diramal terkawal pada 2025, disokong kestabilan harga komoditi - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi diramal terkawal pada 2025, disokong kestabilan harga komoditi - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mac - Inflasi diramal kekal terkawal pada 2025, disokong penurunan harga komoditi global dan tekanan permintaan domestik yang terkawal, kata RHB Research.

 

Katanya, keadaan inflasi dibentuk oleh dasar tempatan dan trend harga komoditi, dipengaruhi tahap rasionalisasi subsidi, potensi tekanan meningkat daripada pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kemungkinan tekanan tarikan permintaan daripada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi, dan turun naik harga komoditi global.

 

"Walaupun langkah pembaharuan fiskal mungkin mencetuskan sedikit tekanan ke atas harga, kesan keseluruhannya terhadap inflasi dijangka terhad, selagi ia dilaksanakan secara beransur-ansur dan mengikut cara yang teratur," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research menjangkakan inflasi kekal pada paras 2.4%.

 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan mengumumkan indeks harga pengguna meningkat 1.5% tahun ke tahun pada Februari 2025. 

 

Kadar itu sepadan dengan anggaran median sebanyak 1.5% dalam tinjauan Bloomberg dan lebih rendah daripada kenaikan 1.7% pada Januari.

 

Sementara itu, UOB berkata, keluaran inflasi terkini sejajar dengan penilaiannya dengan inflasi utama berkemungkinan berbalik  kepada paras melebihi 2% menjelang pertengahan 2025.

 

"Inflasi teras, yang mencatatkan kenaikan bulan kedua, juga mengukuhkan pandangan kami tentang aliran menaik inflasi utama pada separuh kedua 2025. 

 

"Kami mengekalkan unjuran inflasi tahun penuh 2025 kami pada 2.3% buat masa ini, dengan dasar perubahan harga domestik, dengan dasar perubahan harga global turun naik harga komoditi global dan turun naik mata wang," katanya.

 

Dalam pada itu, CIMB Securities berkata, penunjuk masa hadapan termasuk pertumbuhan gaji dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, serta aktiviti pengambilan pekerja (pertumbuhan pekerjaan), terus menunjukkan arah aliran yang sederhana.

 

"Ini menunjukkan inflasi teras berkemungkinan kekal lemah dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

 

Katanya, inflasi dijangka kekal baik sepanjang tahun, kekal dalam sasaran kementerian kewangan, ini menyokong pemberhentian lanjutan kadar dasar semalaman pada 3.00% sepanjang 2025.

 

"Faktor utama yang perlu dipantau termasuk kenaikan gaji minimum baru-baru ini, pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan, subsidi sasaran yang dirancang untuk RON95 pada pertengahan 2025, dan pelarasan tarif elektrik pada Julai," katanya. - DagangNews.com