Inflasi dikhuatiri cecah 2.4% tahun ini akibat tekanan kos global dan harga minyak, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi dikhuatiri cecah 2.4% tahun ini akibat tekanan kos global dan harga minyak, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 Mei – Kadar inflasi berisiko naik semula apabila penganalisis menjangkakan ia boleh mencecah sekitar 2% hingga 2.4% tahun ini susulan tekanan kos global yang semakin melebar.


Mereka turut berpandangan, situasi berkenaan turut dipengaruhi daripada lonjakan harga minyak, baja, logistik dan gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik di rantau Timur Tengah.


Walaupun inflasi Malaysia masih terkawal buat masa ini, risiko tekanan harga semakin ketara dan boleh memberi kesan lebih meluas kepada pengguna serta sektor perniagaan pada separuh kedua 2026.


"Data rasmi menunjukkan inflasi utama naik kepada 1.9% tahun ke tahun (YoY) bagi April 2026 berbanding +1.7% pada Mac 2026, sekali gus kadar terpantas sejak Julai 2024," jelas penganalisis.


Kenaikan itu menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOMS) didorong oleh inflasi pengangkutan yang melonjak kepada 4.1% YoY selain harga makanan, komunikasi serta barangan berkaitan isi rumah.


MBSB Research berkata, peningkatan inflasi semasa banyak dipengaruhi isu bekalan terutama kenaikan harga tenaga susulan konflik Timur Tengah memberi kesan kepada kos pengeluaran dan logistik dunia.


Firma penyelidikan itu berkata, tekanan inflasi bukan makanan meningkat kepada 2.3% YoY pada April 2026 berbanding 2.0% sebelum ini, dipacu daripada sektor pengangkutan, tembakau dan komunikasi.


"Pada masa sama, kami mendapati inflasi makanan dan minuman turut meningkat kepada 1.2% YoY dengan harga makanan di luar rumah bertambah tinggi lebih pantas kepada 2.6% YoY," jelasnya dalam nota.


Bagaimanapun ujar MBSB Research, inflasi teras dilihat sedikit reda kepada 2.0% YoY bagi bulan tersebut berbanding 2.1% pada Mac 2026, dan mencerminkan tekanan harga asas yang masih terkawal.


Ia namun memberi amaran konflik berpanjangan menyebabkan harga baja, urea dan kos pengangkutan global terus naik kerana lebih satu pertiga perdagangan baja dunia perlu melalui Selat Hormuz.


Di samping itu ujar firma penyelidikan tersebut, tekanan kos import minyak kekal sebagai risiko utama yang boleh merebak kepada komponen lebih luas dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP).

 

Artikel berkaitan: Inflasi Malaysia meningkat 1.9% pada April disebabkan kenaikan kos pengangkutan dan bahan api - DOSM

 


pengguna_DagangNews



"Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia pula kembali mencatat kadar inflasi sebanyak 1.1% YoY pada Mac 2026 selepas 12 bulan berturut-turut merekodkan deflasi," kata MBSB Research.


Kenaikan paling ketara dalam sektor perlombongan dan utiliti elektrik serta gas, yang memberi petunjuk tekanan kos pengeluaran semakin meningkat dan berpotensi dipindahkan kepada pengguna.


Justeru, ia mengekalkan unjuran inflasi pada kadar 2.0% bagi 2026 berbanding 1.4% tahun lalu, dan meramal Bank Negara Malaysia (BNM) masih tidak mengubah Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.


Dalam pada itu, Public Investment Bank berpandangan tekanan inflasi kini tidak lagi tertumpu kepada harga minyak mentah semata-mata, sebaliknya mula merebak kepada kos input industri lain.


"Ini termasuk makanan ternakan, bijirin, baja, gas dan insurans logistik, yang meningkatkan risiko inflsi lebih besar terhadap makanan, pengangkutan dan utiliti pada separuh kedua 2026," katanya.


Tambah firma penyelidikan tersebut, risiko inflasi di Malaysia pada ketika ini semakin jelas dan lebih meluas limpahan kesan berbanding sebelum ini, terutama jika tekanan kos global berterusan.


Ujar PublicInvest, walaupun subsidi bahan api bersasar dan pengukuhan ringgit menyerap sebahagian tekanan import, gangguan bekalan global masih memberi kesan kepada rantaian pengeluaran domestik.


Ia turut menarik perhatian terhadap impak konflik global mungkin mula dirasai lebih ketara bermula Jun 2026 apabila inventori industri semakin susut dan aktiviti pengeluaran kilang mula terjejas.


"Selain itu, kebimbangan tertumpu kepada kemungkinan semakan semula mekanisme subsidi bahan api BUDI95 yang boleh menyebabkan ramai pengguna terdedah kepada kos petrol lebih tinggi," katanya.


Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada kadar 2.4% bagi 2026 dan menjangka BNM kemungkinan besar terus mengekalkan OPR pada paras 2.75% sepanjang tahun ini.


Menurutnya, walaupun bank pusat masih melihat tekanan inflasi ketika ini bersifat kos, ruang dasar monetari semakin mengecil sekiranya tekanan harga menjadi lebih berpanjangan. - DagangNews.com