KUALA LUMPUR 14 Mac - Industri buah pala di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, menghadapi beberapa cabaran seperti harga yang tidak menentu dan tuaian bermusim yang mempengaruhi kelestarian dan pertumbuhannya.
Harga buah pala sering berubah-ubah bergantung kepada keadaan pasaran dan hasil tanaman, yang boleh memberi kesan kepada pendapatan petani dan pengeluar kecil.
Tuaian buah yang bermusim pula hanya menghasilkan buah pada masa-masa tertentu, mengakibatkan ketersediaan produk yang terhad dalam tempoh setahun.
Ini menjadikan pengeluar pala terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk menampung kehidupan seharian apabila musim tuaian berakhir.
Walaupun begitu, Pulau Pinang terus menjadi pusat pengeluaran pala yang penting di Malaysia, dengan produk tradisional seperti jeruk pala, sirap pala dan balm pala, menjadi sumber pendapatan kepada generasi petani dan perniagaan kecil di kawasan tersebut.

Ghee Hup Nutmeg Factory, sebagai contoh, memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk berasaskan pala dan mengembangkan produk-produk berkaitan tanaman berkenaan.
Permintaan untuk produk buah pala juga kekal kukuh, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa, dengan pala dari Pulau Pinang sering dicari kerana aroma dan rasa yang unik.
Namun, cabaran yang dihadapi oleh industri pala di Malaysia memerlukan perhatian lanjut bagi memastikan kelestariannya yang menjadi punca pendapatan petani tempatan.
Di Indonesia contohnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kaleka, melancarkan inisiatif Wewowo Lestari di Papua, Indonesia, untuk membantu meningkatkan ekonomi petani buah pala di samping mengekalkan tanaman tersebut yang dianggap sebagai tradisi masyarakat setempat.

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah buah pala yang dihasilkan oleh petani di Papua, dengan memberi latihan kepada mereka tentang teknik pemprosesan yang lebih baik dan membuka pasaran baharu, terutamanya untuk pengeluaran produk kosmetik dan minyak wangi.
Melalui program berkenaan, petani wanita yang terlibat dengan proses tuaian buah pala, diberikan pendidikan dan latihan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk pala yang dihasilkan, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Pembantu Lembaga Eksekutif Kaleka, Venticia Hukom berkata, pendidikan dan latihan yang diberi bukan sahaja meningkatkan pendapatan, tetapi juga memperkenalkan kaedah pemprosesan yang mesra alam dengan menggunakan teknologi seperti pengeringan solar untuk meningkatkan kadar pengekstrakan minyak pala.
"Sebelum ini, petani di sini melaksanakan kaedah tradisional untuk mendapatkan minyak buah pala.
"Dengan bantuan dan inisiatif Wewowo Lestari, kadar pengekstrakan minyak pala meningkat dari 1% kepada 3.5%, yang membuka peluang untuk tanaman itu dikomersialkan menjadi produk yang lebih bernilai tinggi, termasuk minyak wangi dan kosmetik," katanya dalam satu kenyataan.
Melalui program berkenaan, petani wanita yang terlibat dengan proses tuaian buah pala, diberikan pendidikan dan latihan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk pala yang dihasilkan, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Kaleka juga bekerjasama dengan makmal French Association Francaise des Dieteticiens Nutritionnistes (AFDN) untuk melakukan penyelidikan lanjut mengenai potensi buah pala Papua dalam industri minyak wangi, dengan harapan dapat menarik perhatian jenama terkenal seperti Hermes dan Chanel.
Inisiatif Wewowo Lestari bukan sahaja membantu peningkatan kualiti produk pala, tetapi juga membuka akses pasaran yang lebih luas dan menjadikan pala Papua sebagai produk yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dengan sokongan daripada Kaleka, para petani pala di Papua kini memperoleh pendapatan tambahan antara 11% hingga 40%, bergantung kepada jenis dan kualiti pala yang dijual.

Seorang petani pala, Mama Siti dari Kampung Pangwadar di Papua berkata, dia dan rakan-rakannya dapat memproses semua bahagian buah pala, termasuk kulit dan biji untuk dijadikan produk baharu seperti sirap dan kosmetik selepas mengikuti latihan anjuran Kaleka.
"Disebabkan musim tuaian buah pala hanya dua kali setahun, pendapatan kami tidak menentu ditambah dengan harga jualan yang rendah.
"Kebanyakan petani terpaksa mencari kerja lain untuk menyara keluarga selepas habis musim menuai," jelasnya.
Mama Siti turut menyifatkan pokok buah pala jenis Tomandin yang ditanam di kampungnya bukan hanya sekadar tanaman, tetapi adalah legasi nenek moyang yang diturunkan merentasi beberapa generasi. - DagangNews.com








