inDrive terus perkukuh perkhidmatan, sokongan kepada pemandu e-hailing di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

inDrive terus perkukuh perkhidmatan, sokongan kepada pemandu e-hailing di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb — Platform mobiliti bandar global, inDrive terus berkembang pesat di Malaysia dengan mengukuhkan komitmen terhadap perkhidmatan e-hailing yang adil dan fleksibel serta memperluaskan jangkauan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Dalam satu kenyataan, ia bakal fokus kepada mempertingkatkan sokongan untuk pemandu, mutu perkhidmatan, dan memajukan penyelesaian mobiliti mampan selain bersedia mengukuhkan kedudukannya dalam landskap pengangkutan bandar yang pesat berkembang di Malaysia.

 

Sepanjang tahun lalu, inDrive mencatat kemajuan ketara di negara ini dengan meneruskan trajektori pertumbuhan dalam pasaran ride-hailing yang sangat kompetitif malah setakat Ogos 2024, ia merekodkan sebanyak 53.7 peratus dalam jumlah penggunaan perkhidmatan,

 

Selain itu berlaku lonjakan 56.1 peratus dalam pengguna aktif dan kenaikan 36.1 peratus dalam pemandu aktif yang menunjukkan perkembangan ketara berbanding trend pertumbuhan keseluruhan pada 2022 dan 2023, dengan jumlah penggunaan perkhidmatan naik 21.6 peratus.

 

Ia juga menyaksikan lonjakan pengguna sebanyak 16.8 peratus dan pemandu pula 23.3 peratus. Momentum ini mencerminkan penerimaan meningkat dalam kalangan penumpang dan pemandu di Malaysia yang menghargai pengalaman perkhidmatan lebih telus dan berpaksikan pengguna.

 

Pada skala global pula, inDrive telah mencapai pencapaian utama dengan lima bilion tawaran berjaya diselesaikan dan kini beroperasi di sejumlah 888 bandar merentasi 48 negara sejak ditubuhkan pada 2013 di Russia dan kini beribu pejabat di California, Amerika Syarikat.

 

Pengarah Serantau Makro Asia Pasifik inDrive, Mark Tolley, berkata, “Perkembangan positif di seluruh Malaysia membuktikan kekuatan model kami yang lebih mengutamakan keadilan, fleksibiliti, dan kebebasan pilihan untuk para pengguna perkhidmatan e-hailing."

 

Seiring dengan arus perubahan semasa dalam mobiliti bandar di dunia, inDrive melihat keutamaan di Malaysia semakin meningkat terhadap platform yang memberdayakan kedua-dua pemandu dan penumpang sambil menyesuaikan diri dengan trend keperluan pasaran tempatan.

 

Dengan pengembangan di negara ini dan rantau Asia Tenggara, inDrive bukan sahaja menambah operasi, tetapi juga mengadaptasi trend global dalam teknologi, kelestarian, dan mobiliti berbilang perkhidmatan, agar terus berada di barisan hadapan dalam transformasi industri.

 

Dengan pasaran perkhidmatan e-hailing global yang dijangka berkembang ujar Tolley, sektor tersebut menyaksikan pengembangan yang stabil didorong oleh proses urbanisasi, perubahan tingkah laku pengguna, dan kemajuan dalam capaian liputan teknologi mobiliti.

 

Asia Tenggara kekal sebagai rantau utama untuk pertumbuhan pesat, dengan pasaran ride-hailing dijangka menghasilkan AS$9.41 bilion (RM41.6 bilion) menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5.21 peratus sehingga 2029.

 

Di Malaysia, industri ini dijangka mencapai AS$0.51 bilion (RM2.2 bilion) dalam pendapatan menjelang 2025, dengan CAGR sebanyak 2.82 peratus sehingga 2029, mencerminkan permintaan yang berterusan untuk penyelesaian pengangkutan yang boleh diakses, cekap, dan berpatutan.

 

Bagi menyokong pertumbuhan, inDrive merancang untuk mengukuhkan kedudukan di Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru dengan menubuhkan pusat sokongan pemandu mini di bandar utama, menyediakan bantuan tempatan, latihan, dan meningkatkan kemudahan perkhidmatan.

 

Dengan meningkatkan sokongan kepada pemandu, memperbaiki peluang pendapatan, dan memperkukuhkan kerjasama dengan persatuan pemandu, inDrive menjangka untuk melebihi 40,000 pemandu berdaftar di Malaysia menjelang akhir 2025.

 

Seiring dengan pengembangan perkhidmatan e-hailing, perbincangan mengenai isu kebajikan pekerja gig semakin mendapat perhatian di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia terutamanya mengenai hak pemandu, pampasan yang adil, dan pelbagai faedah sampingan.

 

Platform-platform itu kini kata Tolley, digalakkan untuk menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada pemandu perkhidmatan e-hailing malah inDrive sedang berusaha untuk meningkatkan perlindungan insurans dan memperkukuhkan kerjasama dengan pihak persatuan.

 

Satu lagi perubahan besar dalam industri ini adalah usaha ke arah kelestarian dan mobiliti hijau, seiring dengan usaha kerajaan dengan pihak swasta digalak agar menggunakan kenderaan elektrik (EV), integrasi armada hibrid, dan inisiatif pengurangan karbon.

 

"inDrive memang sedang meneroka kerjasama melibatkan beberapa pengeluar EV untuk dapat membangunkan penyelesaian pengangkutan yang lebih lestari, selaras dengan usaha pengawalseliaan kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon," jelas beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pasukan Perekrutan dan Pengaktifan Pemandu Wilayah di inDrive Malaysia, Mohamed Khalil berkata, masa depan perkhidmatan e-hailing adalah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh dan lestari untuk pemandu dan penumpang.

 

Selain daripada pengembangan pekerjaan, mereka sedang memperkenalkan inisiatif jangka panjang untuk menyokong kestabilan kewangan dan prospek perkembangan kerjaya pemandu, termasuk bantuan dan program latihan yang disesuaikan.

 

"Seiring dengan peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang lebih hijau, kami juga sedang meneroka cara untuk membantu pemandu beralih ke pilihan kenderaan lestari dan memastikan mereka kekal sebagai sebahagian daripada evolusi industri ini,” katanya.

 

Menjelang 2025 dan seterusnya, inDrive kekal komited untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara, mengikut perkembangan trend mobiliti yang sedang muncul, serta menyumbang kepada evolusi lebih luas penyelesaian pengangkutan bandar global. - DagangNews.com